Langkah Malaysia suram di Terbuka Perancis

Langkah Malaysia suram di Terbuka Perancis

Aaron Chai-Soh Wooi Yik gagal meneruskan langkah ke perlawanan akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 21-14, 21-19 pada Kejohanan Terbuka Perancis, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem badminton negara menerima tamparan hebat apabila tiada satu pun wakil Malaysia mara ke final dalam Terbuka Perancis yang melabuhkan tirainya, semalam.

Harapan untuk melihat pemain Malaysia memenangi kejohanan bertaraf Super 750 itu mulai terbit selepas tujuh wakil negara layak ke peringkat suku akhir.

Namun, juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir di suku akhir bersama Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam saingan beregu campuran sebelum pasangan wanita No. 2 dunia, Pearly Tan–M Thinaah turut mengikut jejak langkah yang sama.

Sandaran diberikan kepada beregu lelaki negara namun Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tersingkir di suku akhir sebelum cabaran Aaron Chia-Sooh Woi Yik terhenti di separuh akhir.

Aaron-Wooi Yik yang muncul naib juara Terbuka Artik pada 12 Oktober lalu gagal mengekalkan prestasi selepas tewas kepada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri lawan yang sama menewaskan mereka di final Terbuka China, Julai lalu.

Mengulas lanjut, Wooi Yik mengakui corak permainan berhati-hati Alfian-Shohibul yang mula digandingkan sejak Jun lalu telah membuatkan mereka sukar diatasi.

“Saya rasa mereka sangat berhati-hati dengan permainan. Kami masih tak tahu bagaimana untuk mengatasinya situasi itu, kami akan perlahan-lahan membiasakan diri dengan corak permainan mereka kerana mereka masih baharu (digandingkan bersama).

“Saya rasa tidak perlu terlalu risau tentang itu, mereka akan terus menjalankan permainan mereka,” katanya.

Sementara itu, Aaron mengakui asakan bertali-arus daripada lawan sejak awal permainan menyebabkan mereka mengalami kesukaran dan sering berada dalam ketinggalan.

“Ya saya fikir begitu. Saya fikir ia berkaitan dengan konsistensi kami. Masih banyak kesilapan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya rasa (pengajaran berguna) lebih kepada kekuatan mental,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×