KUALA LUMPUR: Sijil halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, malah menjadi tiket penting kepada KVG Juta Sdn. Bhd untuk memperluaskan pasaran produk Mekeria iaitu kuih keria berasaskan ubi keledek yang semakin mendapat sambutan di dalam dan luar negara.
Pensijilan itu juga membolehkan produk berkenaan dipasarkan di pelbagai platform runcit dan e-dagang tanpa keraguan.
Pengarah Urusan KVG Juta Sdn. Bhd., Mohamad Faris Shahin Mohd. Fairus, 27, berkata, perjalanan mendapatkan pengiktirafan halal bermula selepas kilang syarikatnya dinaik taraf dengan bantuan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang menyediakan kemudahan mengikut spesifikasi halal.
Menurutnya, walaupun dokumentasi halal pada awalnya kelihatan rumit, proses tersebut sebenarnya dipermudahkan apabila syarikat memahami syarat dan menghadiri kursus-kursus berkaitan.
“Pada 2018, kami sudah mula proses dan masa itu juga dapat bantuan Ketengah untuk ubah suai kilang. Semua mengikut spesifikasi halal. Kemudian barulah kami uruskan permohonan sijil halal selepas memiliki sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) terlebih dahulu.
“Bagi produk kuih keria, bahan yang digunakan sangat asas iaitu ubi keledek, garam dan gula melaka. Semua bahan itu sememangnya halal, jadi prosesnya lebih mudah. Dalam enam bulan kami berjaya dapatkan sijil, termasuk tiga bulan pertama untuk dokumentasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamad Faris berkata, memiliki sijil halal memberi impak besar terhadap perkembangan syarikat kerana ia membuka peluang menyertai pelbagai pameran termasuk di peringkat antarabangsa.
“Bagi saya halal ini ibarat satu tiket. Dengan adanya sijil ini, produk kita boleh diterima masuk ke pelbagai ekspo dan pasaran antarabangsa. Contohnya, saya berpeluang menyertai program di Dubai anjuran SME Corp selepas memperoleh pensijilan,” katanya.
Tambahnya, sijil halal juga meningkatkan keyakinan bukan sahaja pengguna tempatan malah ejen pengedaran, termasuk ejen bukan Islam.
“Apabila ada sijil, ejen India pun boleh jual tanpa ragu-ragu. Orang luar pun percaya kerana ada pengiktirafan rasmi. Malah, ia memudahkan produk kita menembusi pasar raya, platform e-dagang dan kedai serbaneka,” tambah beliau.
Dia tidak menafikan cabaran utama dalam proses pensijilan adalah dari segi dokumentasi dan keperluan teknikal seperti fakta nutrisi serta pembungkusan produk yang perlu dikemas kini mengikut garis panduan halal semasa.
Katanya, cabaran itu dapat diatasi dengan menghadiri kursus halal berkali-kali sehingga syarikat benar-benar faham syarat yang ditetapkan.
“Sekarang lebih mudah berbanding dulu sebab agensi-agensi berkaitan banyak membantu. Cuma kita perlu serius dan bersedia dari segi dokumen serta standard pengeluaran.
“Bagi KVG Juta Sdn. Bhd., pensijilan halal bukan sahaja menjadi penanda aras kualiti, malah menjadi batu loncatan untuk menembusi pasaran luar negara.
“Kami memang sasarkan untuk bawa produk ke Singapura, China dan Dubai. Dengan adanya halal, kami lebih yakin untuk melangkah ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Dia berharap lebih ramai usahawan kecil dan sederhana mengambil inisiatif mendapatkan pensijilan tersebut kerana ia bukan sekadar label tetapi lambang kepercayaan yang mampu melonjakkan jenama ke tahap lebih tinggi. – UTUSAN










