PLATFORM pembelajaran dalam talian, Coursera baru-baru ini menjadi salah satu aplikasi generasi pertama OpenAI yang dilancarkan dalam ChatGPT sempena OpenAI DevDay.
Kerjasama ini menandakan kali pertama sebuah platform pembelajaran dalam talian diintegrasikan secara langsung ke dalam ChatGPT, menjadikan kandungan pendidikan bertaraf dunia lebih mudah diakses oleh ratusan juta pengguna di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, di mana pendaftaran kursus berkaitan Generative AI (GenAI) meningkat sebanyak 183 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Setiap minggu, ratusan juta orang menggunakan ChatGPT, dengan pembelajaran menjadi salah satu tujuan utama penggunaannya. Kini, pengguna di Malaysia boleh mengakses video dan maklumat Coursera yang relevan terus dalam perbualan ChatGPT, menjadikan kandungan pembelajaran lebih mudah dicari dan mengubah perbualan harian menjadi pengalaman pembelajaran yang interaktif dan dinamik.
Untuk menggunakan aplikasi Coursera dalam ChatGPT, pengguna hanya perlu meminta ChatGPT membuka aplikasi tersebut mengikut nama. ChatGPT juga akan mencadangkannya apabila mengenal pasti bahawa kandungan Coursera sesuai dengan topik perbualan.
Menurut ketua pegawai eksekutif Coursera, Greg Hart, kerjasama antara Coursera dan OpenAI memperluas akses kepada pendidikan serta membantu masyarakat di seluruh dunia untuk belajar, berkembang dan berjaya serta dapat memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk merebut peluang ekonomi dan bersedia untuk pekerjaan masa depan.”
Naib Presiden Pendidikan OpenAI, Leah Belsky berkata, ChatGPT kini menjadi antara alat utama bagi mereka yang ingin mempelajari sesuatu yang baharu. Namun, pengalaman pembelajaran paling berkesan berlaku apabila kepakaran manusia digabungkan dengan AI.
Dengan membawa kepakaran pendidik dan institusi bertaraf dunia dalam Coursera ke dalam ChatGPT, pelajar kini boleh mengakses kandungan yang dipercayai, membina kemahiran pekerjaan, mengembangkan kerjaya, dan membuka peluang baharu dengan lebih mudah.
Peningkatan pesat minat terhadap GenAI di Malaysia mencerminkan permintaan kukuh terhadap kemahiran yang relevan dengan pasaran kerja. Antara kursus GenAI paling popular dalam kalangan pelajar Malaysia termasuk Google AI Essentials, Generative AI for Everyone oleh DeepLearning.AI, dan Introduction to Artificial Intelligence oleh IBM.
Penggunaan GenAI merentasi generasi, dengan golongan Milenial (58 peratus) mendahului usaha peningkatan kemahiran, diikuti oleh Gen X (25 peratus), Gen Z (14 peratus) dan Boomers (3 peratus). Trend ini seiring dengan usaha negara di bawah Pelan Tindakan Nasional AI 2021-2025 dan Peta Jalan Bakat AI 2024-2030 untuk memperkukuh ekosistem AI negara melalui pembangunan kemahiran dan kerjasama penyelidikan.
Aplikasi Coursera yang dibangunkan menggunakan OpenAI Apps SDK ini merupakan satu langkah besar dalam menjadikan pendidikan berkualiti tinggi lebih mudah diakses pada skala besar.
Melalui integrasi terus ke dalam ChatGPT, pelajar kini boleh memperoleh sijil dengan lebih pantas.
Aplikasi baharu Coursera kini boleh diakses oleh semua pengguna ChatGPT yang telah log masuk di luar Kesatuan Eropah (EU), termasuk Malaysia, bagi semua pelan – Percuma, Go, Plus dan Pro.
Pengalaman awal ditawarkan dalam bahasa Inggeris, dengan sari kata dan alih suara tersedia dalam beberapa bahasa terpilih.
Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi Coursera dalam ChatGPT, layari blog Apps in ChatGPT atau cuba terus dalam ChatGPT hari ini. – UTUSAN
CHEN YUIN LIN dan JASMINE KAMAL
Archetype Malaysia










