SEKOLAH yang dahulu menjadi tempat menimba ilmu dan membina sahsiah kini tercalar imejnya akibat beberapa tragedi yang menggoncang hati rakyat Malaysia.
Dalam tempoh singkat, tiga insiden serius berlaku melibatkan pelajar kes buli dan kematian Zara Qairina di Sabah, kes rogol di Melaka, dan kes pembunuhan pelajar di Petaling Jaya.
Peristiwa ini bukan sekadar kejadian terpencil, tetapi amaran bahawa aspek keselamatan dan kesejahteraan emosi pelajar perlu diberi perhatian serius.
Kematian tragis Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar membuka mata masyarakat terhadap isu buli yang masih berleluasa di sekolah.
Siasatan semula kes ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh kesedaran dan pencegahan awal dalam kalangan pelajar serta memperkasakan sistem sokongan emosi di sekolah.
Dalam masa yang sama, insiden rogol yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Melaka menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar, terutama pelajar perempuan.
Sekolah yang seharusnya menjadi tempat selamat kini turut berdepan cabaran besar dalam memastikan pelajar dilindungi daripada ancaman moral dan sosial.
Lebih memilukan, kes di Petaling Jaya menyaksikan seorang pelajar Tingkatan Empat maut ditikam oleh pelajar lebih muda. Tragedi ini mencerminkan tekanan emosi dan konflik remaja yang tidak ditangani dengan baik.
Ia juga menyerlahkan pentingnya peranan kaunseling dan pendidikan emosi dalam membantu pelajar mengurus marah, stres dan hubungan sosial mereka.
Ketiga-tiga kejadian ini menjadi peringatan bahawa isu keselamatan dan kesejahteraan pelajar perlu ditangani dengan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan.
Penerapan nilai kemanusiaan, empati, serta pendidikan moral dan emosi harus digiatkan semula bagi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga seimbang dari segi sahsiah dan kematangan diri.
Tragedi yang menimpa Zara Qairina, pelajar di Melaka dan mangsa di Petaling Jaya sewajarnya dijadikan pengajaran buat semua.
Keselamatan pelajar bukan sekadar tanggungjawab sekolah, tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
Hanya dengan kasih sayang, keprihatinan dan pendidikan yang berteraskan nilai kemanusiaan, sekolah dapat kembali menjadi tempat paling selamat untuk membentuk masa depan anak bangsa. – UTUSAN
DR. NORASYIKIN MOHAIYUDDIN
Pusat Pengajian Pendidikan UUM










