Laporan Indeks Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Ruang Siber (CPC) 2025 mendedahkan, kira-kira 50 peratus kanak-kanak yang melayari media sosial adalah di bawah usia 18 tahun dan 54 peratus melayari masa skrin berlebihan.
Apa yang membimbangkan, 26 peratus boleh terdedah dengan pertemuan luar talian dengan orang asing dalam talian (bawah 13 tahun) (26%) dan terjebak hubungan seksual yang tidak diingini dalam talian (27%).
Kerap bermain permainan video juga mendedahkan mereka dengan gangguan permainan video (11%) dan penggunaan media digital bermasalah (41%) yang boleh menjejaskan mental anak dan tanpa disedari, mengubah tingkahlaku anak kepada lebih agresif.
Pakar Kemahiran Digital dan Keselamatan Kanak-Kanak dalam talian, Dr. Yuhyun Park berkata, kesan ancaman siber ke atas mental kanak-kanak sangat di luar dugaan dan mungkin tidak terfikir di minda ibu bapa.

“Tidak dinafikan, ibu bapa ialah orang paling bertanggungjawab dalam keselamatan anak tetapi apa yang lebih penting, ketika di alam siber, kanak-kanak perlu bertanggungjawab ke atas keselamatan mereka sendiri selain pihak sekolah atau kerajaan.
“Justeru, adalah sangat penting untuk memahami bahawa kanak-kanak perlu diperkasa dalam era Kecerdasan Buatan (AI) yang berkembang pantas ini. Celik AI adalah kemahiran penting yang mesti dimiliki setiap kanak-kanak bukan sahaja untuk dilindungi tetapi berkembang maju dalam era AI ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia sempena Forum Keselamatan Siber yang berlangsung di Riyadh baru-baru ini.
CPC adalah senarai semak untuk semua negara di seluruh dunia bekerjasama bagi mengurangkan risiko siber dalam tempoh lima tahun, sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus.
Indeks CPC sangat penting memandangkan pencegahan risiko ancaman siber ke atas kanak-kanak tidak begitu berkesan dan membimbangkan kerana risiko ini akan melonjak lebih tinggi sehingga 70 hingga 80 peratus berdasarkan jangkaan menggunakan Kecerdasan Buatan (AI).
“Kemahiran teras asas untuk celik AI adalah kewarganegaraan siber iaitu mengetengahkan etika menggunakan teknologi maklumat ini secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang digital serta memastikan keselamatan dan kerahsiaan dalam dunia siber.
“Pada masa sama, ibu bapa mesti faham bahawa keibubapaan hari ini bukan lagi berbentuk fizikal. Ibu bapa juga perlu kemahiran ‘keibubapaan’ siber. Kerajaan dan syarikat perlu bekerjasama, menyediakan sumber yang tepat dan alat pemerkasaan kepada ibu bapa, kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Ibu bapa perlu memastikan keseimbangan antara memantau dan melindungi anak masing-masing. Tetapkan sempadan yang boleh dan tidak boleh dilanggar anak apabila berada di dalam talian.
Ini termasuk membataskan waktu menggunakan telefon atau peralatan digital lain dan mengawal kandungan yang boleh dilayari anak. Pada masa sama, galakkan anak melayari bahan yang memberi pengetahuan dan lebih merangsang minda mereka.
“Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak apabila menggunakan teknologi digital. Pastikan juga mengamalkan perbualan terbuka antara ibu bapa dengan anak-anak mengenai sebarang masalah ketika di alam siber.
“Fahami landskap alam siber yang dilayari anak dan memantau aktiviti mereka bagi memastikan keselamatan mereka.
“Sementara itu, pihak sekolah pula mesti menyediakan pendidikan kewarganegaraan digital yang berkualiti tinggi dan komprehensif kepada pelajar masing-masing,” katanya.
Disamping itu, amat penting untuk ibu bapa dan pihak berkaitan seperti guru-guru memberikan penjelasan kepada anak mengenai risiko apabila melayari alam siber dan kepentingan melindungi diri mereka termasuk menjaga kerahsiaan diri daripada orang yang tidak dikenali.
Ini berikutan jangkaan menunjukkan, 76 peratus daripada kanak-kanak berusia lapan hingga 18 tahun mengalami sekurang-kurangnya satu risiko ancaman siber jika ia tidak ditangani dengan lebih berkesan mulai sekarang.
“Apa yang lebih membimbangkan, risiko ini meningkat daripada 72 peratus sepanjang Covid-19 lalu kepada 76 peratus di masa depan. Kajian menunjukkan lapan tahun terakhir, kadar risiko dan kekerapan ancaman siber adalah antara 70 hingga 80 peratus.
“Ini mendedahkan bahawa pendekatan konvensional dan semasa untuk melindungi anak-anak kita ketika dalam talian pada masa ini tidak begitu berkesan,” katanya.
Laporan itu turut mendedahkan daripada 80 negara yang dinilai, Australia, Singapura, Republik Korea dan United Kingdom mencapai penilaian Indeks CPC keseluruhan ‘luar biasa’, iaitu ditangani dengan baik.
Malaysia antara negara yang diiktiraf sebagai pemimpin ‘luar biasa’ dalam menyumbang kepada perlindungan dalam talian kanak-kanak selain Australia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu.
Sementara itu, kanak-kanak di Australia dan Singapura memiliki kecekapan dalam ruang siber. Australia, Denmark, Estonia, Jepun, Belanda, Republik Korea, Arab Saudi, Singapura, Sweden, UK dan Amerika Syarikat memiliki Infrastruktur Teknologi Selamat.
“Indeks CPC adalah rangka kerja baharu yang mengalu-alukan semua pihak yang mahu menyertai misi ini dengan menyediakan kaedah, ukuran piawaian dan panduan bagi mengurangkan risiko siber.
“Bagaimanapun tanggungjawab ini bukan sahaja perlu digalas oleh pembuat dasar dan kerajaan. Masyarakat juga memainkan peranan bagi melindungi anak-anak daripada ancaman siber,” katanya.
Kesimpulannya, memantau dan mendidik anak-anak mengenai risiko melayari alam siber adalah kaedah lebih berkesan berbanding hanya bertindak selepas berlaku sesuatu tragedi yang tidak diingini.
Kesedaran mengenai bahaya yang menanti mereka di alam siber perlu ditanam di dalam diri anak-anak bagi memastikan keselamatan diri mereka sentiasa menjadi keutamaan. – UTUSAN









