PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usahama diantara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, bersedia membangunkan dermaga baharu yang diberikan nama ‘Berth Zero’ sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya.
Kontrak pembangunan telah dianugerahkan kepada syarikat usaha sama antara MMC Engineering Sdn. Bhd. dan Antara Koh (M) Sdn. Bhd. (MMCE-AKSB JV) yang akan melibatkan kawasan PTP yang belum dibangunkan..
Projek itu merangkumi kerja-kerja pengorekan, penambakan dan pembinaan dermaga sepanjang 360 meter di sepanjang bahagian garisan lurus dermaga PTP, yang akan dilengkapi dengan empat kren dermaga serta kawasan lapangan kontena dilengkapi sepenuhnya dengan kren gantry bertayar getah elektrik (e-RTG).
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pelan pengembangan utama PTP tertumpu pada usaha mengoptimumkan jumlah kapasiti pengendalian terminal kepada kira-kira 16 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh dua tahun setengah akan datang.
“Permintaan dalam industri maritim dan pelabuhan adalah kukuh dan akan terus berkembang. Pembinaan dermaga baharu ini mencerminkan kesinambungan pertumbuhan kapasiti kami.
“PTP akan sentiasa mencari ruang untuk meneruskan pertumbuhan bagi memenuhi falsafah kami yang berteraskan pelanggan, menyokong keperluan pertumbuhan operasi pelanggan yang semakin meningkat, sama ada untuk mencapai matlamat kebolehpercayaan mereka atau untuk meningkatkan daya saing mereka.
“Ini juga sebagai persediaan untuk merebut peluang daripada peningkatan perdagangan intra-ASEAN yang membentuk pasaran masa hadapan, dan seterusnya memperkukuh kedudukan Johor dan Malaysia dalam aliran perdagangan global,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, oleh kerana tahun ini PTP turut menyambut Ulang Tahun PTP ke-25, pembinaan dermaga baharu ini turut membawa maksud yang lebih signifikan.
“Ini kerana projek ini merupakan kesinambungan kepada usaha pembangunan utama terminal kami sejak kejayaan pembinaan Dermaga 13 dan 14 pada 2014.
“Ini juga merupakan fasa terakhir dalam pelan pengembangan semasa PTP, sekali gus membuka laluan bagi kami untuk mencapai sasaran kapasiti keseluruhan kira-kira 16 juta TEU, disokong oleh empat kren dermaga baharu yang dijangka akan mula beroperasi menjelang 2028.”
“Melalui perkongsian strategik dan pengembangan yang mampan, inisiatif ini menandakan tumpuan baharu terhadap pembangunan kapasiti, menjadikan infrastruktur pelabuhan kalis masa dan memperkukuh kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kargo terkemuka.
“Ini turut mencerminkan kesediaan kami untuk menterjemahkan rancangan kepada tindakan bersepadu, usahasama kepada kemajuan, dan wawasan kepada nilai untuk masa hadapan PTP serta cita-cita maritim Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Engineering Sdn. Bhd. (MMCE), Mohamad Asroll Mansor berkata, sebagai sebahagian daripada Kumpulan MMC, MMCE berbangga dapat bekerjasama dengan PTP dalam merealisasikan wawasannya untuk Projek Berth Zero ini.
“MMCE telah memainkan peranan penting dalam membentuk pertumbuhan infrastruktur PTP, menyumbangkan kepakaran kejuruteraan kami untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara maritim yang terkemuka.
“Projek ini mengesahkan. semula komitmen kami terhadap kecemerlangan kejuruteraan, inovasi, dan standard keselamatan serta kualiti tertinggi yang menjadi penentu kepada Kumpulan MMC,” ujarnya.
Pengarah Urusan Antara Koh (M) Sdn. Bhd. (AKSB), Datuk Ir. Tay Yew Chong turut berkata, AKSB berbesar hati untuk meneruskan kerjasama selama 23 tahun pihaknya dengan MMCE, yang dibina atas kepercayaan, kepakaran teknikal dan nilai-nilai yang dikongsi bersama.
“Bersama-sama di bawah MMCE-AKSB JV, kami kekal komited untuk memacu budaya keselamatan yang kukuh, di mana mencapai sifar kecederaan masa hilang bukan sekadar matlamat, tetapi tanggungjawab bersama dan simbol kepada kejayaan projek,” katanya. – UTUSAN









