PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datuk Mohd. Muazzam Mohamed mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya setelah lebih 10 tahun berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 7 Januari 2026 dan hari terakhir perkhidmatan beliau di Bank Islam ialah 12 Disember 2025.
Berikutan itu, mulai 13 Disember 2025, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram akan memainkan peranan sebagai pegawai yang bertanggungjawab ke atas kumpulan bagi memastikan peralihan yang lancar.
Muazzam Mohamed akan menjalani tempoh notis dan terus memberikan sokongan kepada Mizan bagi memastikan kelancaran proses peralihan tersebut.
Beliau berkata, pengalaman berkhidmat di Bank Islam merupakan satu penghormatan besar baginya.
“Selepas tujuh tahun sebagai GCEO, saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk saya berundur dan memberi tumpuan kepada matlamat peribadi.
“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang telah saya terima daripada Lembaga Pengarah, pengurusan, dan semua rakan kerja di Bank Islam,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, beliau telah memainkan peranan penting dalam membentuk Bank Islam menjadi sebuah institusi yang kukuh dan berdaya tahan seperti yang dicapai pada ketika ini.
“Mewakili Lembaga Pengarah, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat dan mendoakan kejayaan dalam segala usaha masa hadapan beliau,” katanya.
Lembaga Pengarah Bank Islam telah memulakan proses pencarian rasmi untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai bagi menerajui kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.
Pengumuman mengenai GCEO baharu akan dibuat setelah memperoleh kelulusan pihak kawal selia. – UTUSAN











