PUTRAJAYA: Jemaah Menteri semalam memutuskan bahawa tiada sebarang perubahan terhadap garis panduan sedia ada membabitkan penganjuran acara yang melibatkan penyajian arak di dewan sekolah seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut perlu dirujuk kepada Kementerian Pendidikan.
Namun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut tentang garis panduan berkenaan.
“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa garis panduan serta amalan sedia ada adalah terpakai. Tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia ada.
“Mungkin terdapat persoalan yang dibangkitkan oleh media, namun penjelasan lanjut akan diberikan oleh Kementerian Pendidikan susulan sidang media ini. Dan saya minta agar media merujuk kepada KPM,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat menegaskan sebarang aktiviti membabitkan arak dan perjudian tidak boleh sama sekali diadakan di dewan sekolah.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu jelas melanggar konsep dan falsafah pendidikan negara dengan dewan sekolah tidak boleh digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan.
Kenyataan Anwar itu kemudiannya turut menerima reaksi daripada penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri sebagai ‘menjolok sarang tebuan’, kerana ia menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina, apabila ia dilihat sebagai mengganggu amalan sedia ada.
Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) turut memberi komen dengan menyatakan: “Pendirian ini kami pandang sebagai satu bentuk sekatan yang secara tidak langsung mencabul hak pihak luar untuk menyewa premis sekolah, malah juga menyekat ruang budaya dan semangat keterangkuman dalam masyarakat majmuk.”
Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar bahawa garis panduan itu tidak terpakai oleh Skolah Jenis Kebangsaan Cina, justeru, fasiliti itu boleh menyajikan alkohol dalam acara yang dianjurkan, Fahmi sekali lagi mengulangi bahawa garis panduan sedia ada adalah terpakai.
“Sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), ada yang mendapat bantuan penuh, ada yang fasiliti dibangunkan dan dijaga oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau dibangunkan oleh pihak swasta.
“Jadi, ada beberapa perkara yang terpakai khusus untuk sekolah-sekolah Cina. Tapi boleh rujuk kenyataan yang akan dikeluarkan KPM,” katanya. – UTUSAN










