Minatnya terhadap tupai tanah atau prairie dog bermula tanpa sengaja, apabila membantu menjaga haiwan tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sejak itu, Nuranis Suraya Mohd. Atan, 25, jatuh cinta pada haiwan berkenaan.
Apatah lagi dengan kecomelan dan keunikan spesies yang sebelum ini tidak pernah dikenalinya.
“Bila tupai tanah peliharaan ibu saudara hilang, lantas mendorong saya untuk membela haiwan sama,” katanya.
Sehingga kini, dia sudah memiliki sebanyak enam ekor yang diberi nama Tona, Toni, Mumu, Mimi, Lona dan Muharam.
Di peringkat awal, katanya, tidak mudah untuk menjaga haiwan tersebut.
Ia gemar mencakar setiap kali didekati.
Oleh itu, Nuranis Suraya meletakkan bajunya di dalam sangkar bagi membolehkan si manjanya mengenali bau dirinya.
Bila haiwan peliharaannya tidur, dia memanfaatkan peluang itu untuk membelai lembut.
Lama-kelamaan tupai tanah dapat membiasakan diri dengannya.
“Paling manja ialah Mumu dan sentiasa mahu disuap berbanding makan sendiri,” katanya.
Walaupun tupai tanah hidup secara berkumpulan, namun wanita ini memilih untuk mengasingkan Toni dan Tona dengan Mumu dan Mimi.
Katanya, keempat-empatnya mudah bergaduh jika dibiarkan bermain bersama.

Cara penjagaan
Di rumah, Nuranis Suraya lazimnya melepaskan keenam-enam haiwan kesayangannya itu secara bergilir.
Haiwan itu bebas bermain termasuk bersama-sama dengan kucing peliharaannya.
“Hanya Mumu dan Mimi yang penakut bila tengok kucing sudah menunggunya untuk diajak bermain.
Katanya, sangkar haiwan itu diletakkan di dalam bilik dan perlu sentiasa dalam keadaan bersih.
Selain itu, soal pencahayaan juga perlu diberi perhatian penting.
Justeru, dia turut menyediakan lampu tidur untuk dipasang pada waktu malam.
Dari segi pemakanan pula, dia memberikan alfafa iaitu rumput khas di samping palet arnab, kuaci dan buah kering.
Bagaimanapun, katanya, setiap tupai itu tidak memiliki selera makan sama dan sangat memilih.
“Bagi yang baru memelihara tupai tanah, pastikan penjagaan makanan tepat supaya gigi tidak membesar berlebihan,” katanya.
Sesekali, Nuranis Suraya turut membawa haiwannya menjalani pemeriksaan kesihatan walaupun jarang diserang sakit.










