PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki mencabul dua kanak-kanak lelaki bawah umur yang juga anak saudaranya.
Penahanan suspek dibuat semalam bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat pada hari sama, kira-kira pukul 3 petang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan polis dibuat ibu mangsa selepas dimaklumkan oleh salah seorang anaknya mengenai kejadian yang dipercayai berlaku pada 2023 di sebuah rumah di USJ 9 di sini.
“Siasatan awal mendapati suspek yang dikenali oleh mangsa telah memujuk dua beradik itu masuk ke biliknya di tingkat atas sebelum melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mereka.
“Perbuatan itu dipercayai berlaku lebih daripada sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, kedua-dua mangsa tidak mendedahkan kejadian tersebut lebih awal kerana berasa takut dan tidak mengetahui bahawa perbuatan itu merupakan jenayah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya. – UTUSAN











