RM10.1j kos baik pulih sekolah terjejas ribut

RM10.1j kos baik pulih sekolah terjejas ribut

PEKERJA kontraktor membaiki bumbung SK Sijangkang Jaya, Kuala Langat yang rosak selepas dibadai ribut dan puting beliung pada 15 Oktober lalu. – UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Lebih 4,000 pelajar di tiga buah sekolah rendah dekat Sijangkang di sini akan meneruskan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sehingga habis penggal persekolahan tahun ini.

Ia susulan kerja-kerja baik pulih bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung yang rosak akibat dibadai puting beliung dan ribut pada minggu lalu akan memakan masa sehingga tiga bulan.

Bagaimanapun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Si­jangkang Jaya sudah pun disahkan selamat.

Ia selepas kerja pembaikan bumbung di blok-blok akademik siap dan kira-kira 2,000 pelajar­nya termasuk lebih 400 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali ke sekolah seperti biasa bermula semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembaikan bagi sekolah-sekolah terjejas melibatkan kos sebanyak RM10.1 juta yang diluluskan Kementerian Pendidikan.

Namun begitu, katanya, peruntukan tersebut hanya melibatkan pembinaan semula melibatkan struktur terutama pada bahagian bumbung dan tidak termasuk kos pendawaian elektrik serta peralatan-peralatan yang rosak.

“Pelajar-pelajar yang terlibat dengan peperiksaan SPM dibenarkan untuk masuk (bersekolah) dan (kawasan sekolah) diisytiharkan selamat.

“Kerja pembersihan sudah selesai dan kita tumpukan ia di sini untuk memberi peluang kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan pada 2 November depan.

“SMK Sijangkang Jaya 90 pe­ratus selesai hanya di bangunan makmal yang perlu dibaiki,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dan mende­ngar taklimat mengenai kerja-kerja baik pulih empat buah sekolah di Sijangkang semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mendapatkan senarai peralatan dan kelengkapan yang perlu diganti daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat sekiranya memerlukan bantuan peruntukan tambahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lima buah sekolah termasuk sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan mengalami kerosakan susulan insiden ribut dan pu­ting beliung pada 15 Oktober lalu.

Bencana tersebut menyebabkan kerosakan pada struktur bumbung, peralatan sekolah serta beberapa kemudahan lain sehingga memaksa lebih 4,000 pelajar meneruskan pembelajaran secara PdPR.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×