KANGAR: Seorang peniaga didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menjual bingkai gambar dan jam dinding mengandungi kesilapan ayat-ayat al- Quran, tahun lalu.
Tertuduh, Khan Mahammad Hassan, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan, Khan didakwa menjual sebanyak 13 unit jam dinding nama Allah dan ayat kursi, 14 unit bingkai ayat 1,000 dinar, 10 unit bingkai ayat kursi, sembilan unit bingkai surah empat Qul dan enam bingkai Muhammad yang mengandungi kesilapan ayat-ayat al-Quran.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di premis Salim Maju Jaya Enterprise, Taman Pertiwi Indah, Seriab, pada 29 Mac tahun lalu sekitar pukul 10.15 pagi.
Tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Pindaan) 2023 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 14 (2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perlis, Muhd Khairuddin Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, tertuduh memohon agar mahkamah membuat pertimbangan mengenakan denda minimum memandangkan dia juga berdepan kesukaran dalam perniagaan dan gagal membayar sewaan premis sejak beberapa bulan lalu.
Tertuduh juga memaklumkan masih menjalankan perniagaan di premis itu dengan menjual langsir, karpet dan perabot untuk menyara keluarga.
Pihak pendakwaan dalam hujahan turut memohon agar hukuman setimpal dapat dikenakan ke atas tertuduh yang telah memberikan kerjasama penuh sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dikenakan denda RM8,000 dan jika gagal bayar boleh dihukum penjara 10 bulan selain barang kes turut dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan. –UTUSAN










