Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tanda kebangkitan semangat ASEAN - PM

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tanda kebangkitan semangat ASEAN – PM

ANWAR Ibrahim ketika taklimat bersama media Malaysia di Putrajaya, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur minggu depan menjadi tanda kebangkitan semula semangat rantau ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bukan sahaja penting kepada Malaysia tetapi turut membawa manfaat besar kepada seluruh rantau ASEAN.

Katanya, ia disebabkan sidang kali ini mencatatkan sejarah baharu apabila bakal dihadiri pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

“Sebagai Pengerusi, Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan selain terus mempertahankan Kepusatan ASEAN, memperkukuh perdagangan bebas, memperjuangkan keamanan serantau serta membawa suara Negara-Negara Selatan ke pentas global.

“Ia termasuk dalam isu Gaza di mana Malaysia konsisten menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, sidang kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11.

Katanya, ia melambangkan keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh.

“Dalam masa sama, Malaysia menegaskan pentingnya memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN.

“Kita juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal bermula hujung minggu ini, beliau dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua-Ketua Pengarang media tempatan dan antarabangsa telah berkongsi pandangan awal mengenai fokus dan harapan Malaysia terhadap penganjuran kali ini.

Katanya, beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×