PTP terbit sukuk hijau pertama bernilai RM500j

PTP terbit sukuk hijau pertama bernilai RM500j, pacu pembangunan mampan pelabuhan

PELABUHAN Tanjung Pelepas.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usahama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, menerbitkan sukuk hijau pertama bernilai RM500 juta sebagai usaha mengukuhkan pelaburan dalam pembangunan pelabuhan yang lebih mampan.

Terbitan tersebut dibahagikan sama rata merentasi tiga dan lima tahun, memperkukuh komitmen PTP terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab dan pengawasan kelestarian alam sekitar.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, hasil daripada sukuk hijau itu akan digunakan untuk membiayai pengembangan kapasiti PTP dan membolehkan pelabuhan mereka terus memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat merentasi kargo eksport, import serta perkapalan transit.

“Ini merupakan sebahagian daripada rancangan pelaburan yang lebih besar dengan matlamat bagi meningkatkan kapasiti pengendalian terminal sehingga 15.9 juta unit.

“Ini bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam masa beberapa tahun lagi, sekali gus menyokong aspirasi maritim negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, penerbitan sukuk hijau itu berjaya menarik permintaan pasaran yang luar biasa, sehingga mencatatkan lebihan langganan yang ketara.

“Permintaan daripada pelabur ini memberi kami keyakinan untuk membuat penerbitan selanjutnya pada masa hadapan demi menyokong rancangan pertumbuhan jangka panjang kami.

“Ini turut menggambarkan keyakinan pelabur terhadap kemampuan kami dalam memberikan operasi terbaik sambil memacu kemajuan yang mampan,” ujarnya.

Beliau berkata, penerbitan sukuk hijau tersebut juga telah membawa maksud yang lebih signifikan seiring menyambut ulang tahun PTP ke-25. 

“Ini bukan hanya kejayaan dalam soal pembiayaan, malah membuktikan bahawa keutuhan alam sekitar, disiplin kewangan, dan inovasi dapat disatukan dalam satu instrumen,” katanya 

PTP baru-baru ini diiktiraf oleh Alphaliner sebagai pelabuhan paling pesat berkembang di dunia, dengan pertumbuhan sebanyak 15.4 peratus pada separuh pertama 2025. 

Ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan 30 pelabuhan utama global dalam kedudukan firma penyelidikan itu.

Dalam pada itu, PTP turut merekodkan kendalian kontena 1.2 juta TEU dalam tempoh sebulan antara April dan Jun 2025 tanpa masalah kesesakan, serta mencapai lebih daripada 15,000 pergerakan dalam satu syif bersamaan 12 jam. 

Pencapaian tersebut membuktikan keupayaan terminal yang efisien serta kecemerlangan operasi, mencerminkan ketepatan, disiplin dan penyelarasan yang terus memacu kejayaan berterusan PTP pada hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×