Tugas berat kembalikan prestasi Liverpool

Tugas berat kembalikan prestasi Liverpool

Arne Slot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui berdepan cabaran besar untuk mengembalikan semula prestasi Liverpool selepas berdepan empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan musim ini.

Lebih perit The Reds tewas 1-2 kepada Manchester United di laman sendiri kelmarin yang juga kemenangan pertama United di laman keramat itu sejak Januari 2016, sekali gus menambah tekanan terhadap Slot.

Pengendali dari Belanda itu kecewa dengan ketumpulan jentera serangan apabila Cody Gakpo tiga kali terkena palang selain Mohamed Salah turut mensia-siakan beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Slot mengakui tugas menantinya amat berat, terutama menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt, awal pagi esok dan jika tewas lagi, ia kali pertama Liverpool kalah lima kali berturut-turut sejak September 1953.

“Sebagai pengurus, cabaran tidak pernah berhenti. Sama ada ketika mula menangani pasukan besar, menggantikan personaliti seperti Jurgen Klopp atau kini selepas kalah empat kali berturut-turut, setiap fasa ada ujian tersendiri. Itulah realiti hidup seorang pengurus bola sepak

“Dalam setiap perlawanan yang kami tewas, kami tetap mencipta banyak peluang pada separuh masa kedua. Jika kami terus mencipta peluang sebegitu dan perbaiki beberapa aspek, saya yakin kemenangan boleh diperoleh semula.

“Tetapi apabila anda cuba bangkit dalam perlawanan, anda ambil lebih banyak risiko dan di situlah kami goyah dari segi pertahanan,” kata Slot.

Liverpool yang sebelum ini memenangi tujuh perlawanan berturut-turut di awal musim kini ibarat kehilangan arah, dengan prestasi pasukan terus merudum dalam semua kejohanan, mereka juga menyamai rekod buruk pada era Brendan Rodgers pada 2014.

Ketika era Rodgers, The Reds juga mengharungi empat kekalahan sebelum berjaya mengelak kekalahan kelima dengan keputusan seri 2-2 menentang kelab Bulgaria, Ludogorets Razgrad dalam aksi Liga Juara-Juara.

Kini Slot juga berdepan ujian yang sama berdepan Frankfurt awal pagi esok, perlawanan yang akan menentukan sama ada beliau mampu menghentikan rekod buruk itu atau menyertai senarai hitam pengurus yang gagal.

Frankfurt mungkin tidak berada di prestasi terbaik apabila menghuni tangga ketujuh Bundesliga, namun aksi di Deutsche Bank Park bukanlah tugas mudah buat mana-mana pasukan pelawat.

Jika Liverpool tewas lagi, mereka akan menjadi pasukan pertama The Reds sejak 1953 yang tewas lima perlawanan berturut-turut.

Ketika itu, skuad bimbingan Don Welsh kalah lima kali berturut-turut antara 29 Ogos hingga 12 September 1953 sebelum seri dengan Wolves namun akhirnya tersingkir dari divisyen pertama.

Pasukan di bawah kendalian Welsh adalah edisi ke-11 dalam sejarah Liverpool yang mengalami lima kekalahan berturut-turut dengan beberapa siri kegagalan serupa berlaku antara tahun 1902 hingga 1912.

Rekod terburuk dalam sejarah Liverpool dicatat pada musim 1899-1900 apabila pasukan muda itu tewas sembilan perlawanan berturut-turut. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×