Kadar OPR semasa sudah optimum untuk pertumbuhan

Kadar OPR semasa sudah optimum untuk pertumbuhan

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarakat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 6 November ini kerana kedudukan kadar 2.75 peratus sudah di tahap optimum bagi menyokong keperluan pasaran.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, OPR semasa sudah cukup seimbang untuk menyerap keperluan kecairan dalam pasaran tanpa memberi tekanan kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, menaikkan kadar faedah boleh menyebabkan kecairan pasaran berkurangan dan menekan kadar pertumbuhan.

“Jika kita mahu merangsang pertumbuhan lebih pantas, barulah kadar itu boleh diturunkan, manakala jika mahu mengurangkan penawaran wang, OPR boleh dinaikkan.

“Namun begitu, kadar semasa sudah cukup optimum dalam merangsang pertumbuhan dalam ekonomi dan menyokong perbelanjaan isi rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, paras OPR yang neutral adalah sekitar 3.0 peratus, namun dengan ekonomi kini berada dalam fasa pemulihan sederhana, mengekalkan kadar semasa sekitar 2.75 peratus adalah wajar bagi mengimbangi pertumbuhan dan kestabilan harga.

“Saya menjangkakan kadar ini akan kekal sehingga 2026. Namun, jika ekonomi memerlukan rangsangan tambahan pada masa itu, mungkin ada ruang untuk sedikit penurunan, dengan kawalan rapi supaya tidak menjejaskan kestabilan pasaran,” jelasnya.

Beliau berkata, kadar inflasi Malaysia yang rendah pada 1.2 peratus ketika ini menunjukkan kestabilan harga, namun perlu dipantau bagi mengelak risiko deflasi sekiranya penurunan berterusan.

Ujarnya, arah tuju dasar monetari juga akan bergantung kepada persekitaran global, termasuk kesan tarif perdagangan, import eksport serta konflik geopolitik.

“Buat masa ini, perbelanjaan isi rumah dan keyakinan pengguna kekal baik, jadi kita boleh kekalkan OPR semasa sehingga akhir tahun depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, CIMB Securities turut mengunjurkan OPR kekal pada 2.75 peraus pada mesyuarat MPC bulan depan, didorong oleh pertumbuhan ekonomi rancak pada suku ketiga.

Katanya, ini susulan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga sebanyak 5.2 peratus oleh Jabatan Perangkaan.

“Bacaan KDNK terkini menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil pada Julai hingga Ogos 2025, dengan sederhana penyederhanaan pada September, selaras dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan pada 49.9 (Ogos: 49.8).

“Aktiviti eksport kekal disokong oleh permintaan elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan. 

“Sementara itu, penghantaran bukan E&E pulih baru-baru ini, kelemahan berterusan sepanjang tahun mungkin mewajarkan pelonggaran dasar sekiranya trend itu berterusan sehingga suku pertama 2026,” jelasnya.

BNM memotong OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 perutus pada 9 Julai lalu, penurunan pertama sejak Mei 2023.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×