KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengagihkan pendapatan berjumlah RM263.7 bilion kepada rakyat Malaysia sejak penubuhannya, hasil strategi pelaburan mampan dan transformasi berterusan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, agihan tertinggi dalam tempoh lima tahun disalurkan pada tahun lalu sebanyak RM14.5 bilion pada 2024, mencerminkan keberkesanan inisiatif transformasi syarikat.
“PNB sudah dan terus melalui proses transformasi daripada pelabur domestik kepada pelabur global serta daripada tumpuan tunggal kepada ekuiti kepada pelaburan pelbagai aset.
“Hasilnya, kami berbangga dapat memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan Forum Ilmu PNB 2025 bertemakan Transformasi di sini, semalam.
Forum yang dihadiri lebih 600 peserta termasuk pemegang unit ASNB dan pelajar di bawah program Celik Madani antara lain menampilkan sesi In-Conversation bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia meneroka transformasi sebagai proses pelbagai dimensi yang didorong oleh anjakan geopolitik global, norma yang semakin berkembang dan keperluan Malaysia untuk mentakrifkan semula pendekatan terhadap daya tahan ekonomi, kekuatan institusi serta pertumbuhan mampan.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pihaknya memberi penekanan terhadap visi transformasi holistik Perdana Menteri untuk Malaysia yang melangkaui pembaharuan ekonomi semata-mata untuk merangkumi tadbir urus kepimpinan, integriti institusi, keadilan sosial serta warisan budaya.
“Dalam dunia yang berubah pantas pada masa kini, transformasi bukan lagi sekadar tentang penyesuaian, tetapi melibatkan cara baharu dalam kita bekerja, memimpin dan mencipta nilai pada setiap peringkat.
“Bagi PNB, ini bermaksud kekal teguh terhadap mandat kami untuk meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia melalui pemerkasaan kewangan inklusif, menawarkan pelbagai pilihan pelaburan dan menjadikan pembinaan kekayaan mudah diakses oleh semua pihak,” katanya. – UTUSAN










