KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu rakan setugas membabitkan urusan pertukaran tempat kerja, 10 tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Nazri Md Sir, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd Nazri didakwa menipu tiga anggota polis dengan memperdayakan mereka kononnya boleh membantu dalam urusan pertukaran tempat bertugas sedangkan dia tidak bekerja di bahagian berkenaan.
Perbuatan itu mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,500 ke dalam dua akaun berasingan milik tertuduh dan isterinya antara Ogos hingga November 2015 di Berek Polis Diraja Malaysia (PDRM), Salak Selatan Baru, di sini.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, peguam bela, Fatin Nur Syahzanani Zakaria yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya bergaji kira-kira RM2,500 sebulan.
“Anak guam saya juga menanggung seorang isteri yang tidak bekerja, anak berusia 17 tahun serta ibu warga emas. Dia turut menghidap penyakit jantung dan perlu mengambil ubat secara berterusan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin dewasa warganegara Malaysia.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan menetapkan 3 Disember untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










