BAGI kanak-kanak era 90-an yang membesar tanpa media sosial atau telefon pintar, ‘hiburan’ atau saat paling dinantikan adalah turun ke bendang ‘menggagau’ dan menyerkap ikan.
Aktiviti ini amat popular setiap kali selesai musim menuai padi.
Saat itu, kanak-kanak terutama di kawasan kampung-kampung cukup teruja berkubang di dalam selut mencuba nasib ‘menggagau’ ikan dan menjadi satu kepuasan apabila pulang ke rumah membawa hasil yang banyak.
Di zaman serba moden ini, meskipun aktiviti tersebut sudah semakin dilupakan namun di sesetengah kawasan di Perlis, ia masih bertahan.
Ketika kanak-kanak lain lebih menjadikan permainan video sebagai pilihan untuk mengisi masa lapang, namun bagi anak-anak di kebanyakan kampung di Perlis terus kekal dengan tradisi ‘menggagau’ ikan selepas musim menuai.
Antaranya di Kampung Bakong, Arau Perlis yang masih ramai kanak-kanak begitu teruja menyertai aktiviti menyerkap ikan seperti haruan, puyu dan sepat.
Aktiviti tersebut juga terus meriah di kampung-kampung lain sekitar negeri ini.
Putera Haziq Shah Putera Abu Bakar Shah, 17, berkata, dia masih meneruskan aktiviti menyerkap ikan meskipun ramai rakan sebaya sudah tidak berminat dengan aktiviti tersebut.
Dia selalunya mengikut aktiviti membajak di sawah-sawah padi sekitar kawasan rumahnya dan menuruti di belakang mesin membajak untuk menyerkap ikan.
“Setiap kali selepas musim menuai padi, saya bersama rakan-rakan tidak akan melepaskan peluang melakukan aktiviti menyerkap ikan ini.
“Sepanjang melakukan aktiviti ini, tidak pernah saya pulang dengan tangan kosong. Ada sahaja ikan yang dibawa pulang ke rumah dan ia menjadi satu kepuasan,” katanya.
Tambahnya, aktiviti serkap ikan masih rancak dijalankan di negeri ini, dengan kanak-kanak turut mewarisi dan meneruskan tradisi turun-temurun itu.
“Kanak-kanak tidak kisah ‘berkotor’ atau berlumpur Bagi mereka, aktiviti sebegini sesuatu yang cukup menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Dimat Kamis,75, berkata, dia tidak pernah lupa membawa cucu-cucunya untuk menyertai aktiviti menyerkap ikan setiap kali habis musim menuai padi di sekitar Batu Pahat di sini.
Aktiviti serkap ikan sudah sinonim dengan dirinya sejak kecil.
Malah, minat itu diwarisi pula oleh anak serta cucu-cucunya.
“Dahulu, selepas sahaja musim menuai, meriah dan penuh dengan penduduk khususnya kanak-kanak turun ke bendang menyerkap ikan.
“Mereka ketika itu, tidak kisah berselut kerana menjadi satu kepuasan apabila dapat membawa pulang banyak ikan.
“Selalunya hasil ikan yang diperolehi seperti ikan haruan, puyu dan sepat dimasak asam pedas selain dijadikan pekasam dan ikan kering,” katanya.
Tambah Dimat, lazimnya selepas selesai musim menuai padi, ikan di sawah mudah ditangkap kerana berada di dalam selut dengan air yang cetek.
Menurutnya, serkap digunakan untuk menangkap ikan hanya dengan tangan, namun perlu berhati-hati kerana ada kalanya ikan keli yang tertangkap boleh menyengat.
“Zaman dahulu, kita akan ikut di belakang tenggala yang ditarik seekor kerbau ketika membajak, namun kini, kita ikut di belakang mesin membajak untuk menyerkap ikan.
“Serkap ini, digunakan dengan cara merejam ke dalam air di sawah secara berulang kali dan apabila terasa kocakan ikan membelah dinding serkap, itu menunjukkan ikan telah ‘mengena’,” katanya.-UTUSAN










