Atlet kategori B tetap diiktiraf jika raih pingat

Atlet kategori B tetap diiktiraf jika raih pingat

Mohd. Nasir Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan bahawa atlet yang bertanding di bawah kategori B menggunakan dana sendiri atau sumbangan masih akan menerima pengiktirafan penuh sekiranya berjaya meraih pingat di Sukan SEA pada Disember ini.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, walaupun atlet kategori B tidak menepati penanda aras prestasi yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), mereka tetap diberi peluang menyertai temasya jika berhasrat untuk bersaing atas usaha sendiri.

“Kita tidak mahu melemahkan semangat perjuangan mereka. Kalau mereka belum capai had minima, tetapi masih mahu bertarung, kita benarkan cuma mereka perlu tanggung sendiri kos penyertaan,” katanya.

Bagaimanapun, Nasir menjelaskan, sekiranya atlet berkenaan memenangi pingat, MOM akan membayar semula segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan.

“Kalau dia pergi dan menang, kemenangan itu tetap diiktiraf. Semua kos akan dibayar balik, terutama bagi ahli gabungan atau ahli bersekutu.

“Untuk pingat perak ke atas, kita bagi 100 peratus,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya acara yang memenuhi syarat minimum akan layak menerima sebarang bentuk bayaran balik.

“Untuk acara individu, sekurang-kurangnya mesti ada enam peserta, manakala acara berpasukan perlu ada sekurang-kurangnya lima pasukan.

“Kalau kurang daripada itu, tiada bayaran balik atau reimbursement,” jelasnya.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan keadilan dan integriti pertandingan di peringkat antarabangsa, selain mengelak situasi di mana acara dengan penyertaan terhad dijadikan jalan pintas meraih pingat.

Beliau turut menambah, penyertaan ke temasya luar negara bukanlah semata-mata untuk ‘berbaring’, sebaliknya membawa misi mengharumkan nama negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×