Kerajaan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Sabah

Kerajaan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Sabah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkait 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah itu kerana dilihat selari dengan suara hati rakyat Sabah yang sekian lama memperjuangkan hak tersebut, sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dari pihak kerajaan pula, pastinya kita akan meneliti keputusan yang dibuat itu dan dari segi kemunasabahan termasuk dari segi kemampuan kewangan.

“Namun, kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk membawa perkara ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi dibincangkan,” katanya di Kota Kinabalu.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Persekutuan perlu membuat semakan dan berbincang bersama Kerajaan Negeri Sabah berhubung pemberian khas sebanyak 40 peratus kepada negeri itu bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021 dalam masa 180 hari bermula semalam.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid selepas membenarkan permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara itu juga akan diperinci dan dikaji dengan teliti sebelum dimasukkan sebagai sebahagian daripada manifesto dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sekiranya BN berjaya mentadbir kerajaan negeri.

Katanya, manifesto BN akan menjadi asas janji kepada rakyat Sabah termasuk menyelesaikan isu infrastruktur asas dalam tempoh satu penggal, sambil menjangkakan tiada parti atau gabungan akan mendominasi sepenuhnya kerajaan negeri selepas PRN17.

“Saya hampir pasti bahawa tidak akan ada sebuah pun parti atau gabungan parti yang dominan.

“Ia pasti memerlukan perkongsian kuasa politik dan tentulah ketika itu bukan hanya manifesto, tetapi apa juga perkara yang penting untuk kepentingan rakyat Sabah, supaya terus membangun dan menikmati kemakmuran, itu menjadi keutamaan kepada kerajaan yang akan terbentuk akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai PRN Sabah, Presiden UMNO itu berkata, parti itu hanya akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan yang berpotensi tinggi untuk menang.

Katanya, kuasa autonomi juga diberikan kepada UMNO Sabah bagi memilih calon yang akan diketengahkan mengikut perkiraan sendiri.

“Namun, kita harus mengakui hakikat bahawa kita hanya meletakkan calon di DUN yang berpotensi untuk menang dan kita akan mengutamakan calon yang telah dikemukakan UMNO Sabah sendiri.

“Kita menerima sampai lima bakal calon dikemukakan, namun kita kena teliti terlebih dahulu calon berkenaan serta tempat yang akan ditandingi, yang penting calon berkenaan dijangka boleh menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN