PETALING JAYA: Pelumba para berbasikal negara, Muhammad Yusof Hafizi Shaharuddin membuktikan kehebatannya di pentas dunia apabila menghadiahkan pingat perak dalam acara 1 kilometer Ujian Masa dii Kejohanan Dunia Para Berbasikal Trek UCI 2025 di Brazil, kelmarin.
Lebih manis, anak jati Kuala Kangsar, Perak itu turut memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 1 minit 14.117 saat pada peringkat kelayakan sekali gus mengatasi rekod peribadi dan kebangsaan sebelumnya, 1:15.572 yang dicatat pada edisi tahun lalu di venue sama.
Pada aksi final yang penuh sengit, Yusof Hafizi terpaksa akur di tempat kedua di belakang pelumba Sepanyol, Ten Argiles Ricardo, yang merangkul emas dengan masa 1:15.182 saat, manakala wakil Bebas Neutral, Ivan Ermakov, membawa pulang gangsa (1:17.657 saat).
Menurut jurulatih para berbasikal negara, Sallehudin Mohd Noh, keputusan itu membuktikan peningkatan ketara prestasi atlet negara di pentas antarabangsa, selain hasil latihan intensif di bawah kendalian bekas jaguh trek negara, Mohd Rizal Tisin.
“Kejayaan ini amat bermakna kerana ia merupakan pingat perak pertama Yusof Hafizi dalam sejarah penyertaannya di Kejohanan Dunia Para Berbasikal Trek.
“Beliau bukan sahaja memperbaiki catatan masa, malah membuktikan kemampuan menyaingi pelumba terbaik dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Sallehudin, prestasi cemerlang itu turut memberi suntikan semangat menjelang cabaran Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand dan Sukan Para Asia di Nagoya, Jepun pada tahun depan.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Para Berbasikal Negara, Siti Marina Arshad dari Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan, Yusof merupakan antara atlet yang diletakkan harapan tinggi untuk menyumbang pingat dalam misi mengekalkan momentum kejayaan kontinjen Malaysia.
Dalam perkembangan lain, pasukan tandem Malaysia bagi acara MB/WB pecut berpasukan yang dibarisi Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan menamatkan saingan di tempat keempat dengan masa 52.729 saat, di belakang Great Britain (50.406 saat).
Sementara itu, pelumba Zuhairie Ahmad Tarmizi menamatkan aksi 1km Time Trial (MC5) di tempat ke-10 dengan catatan 1:08.571 saat. – UTUSAN









