Edar dadah: Wanita warga Thai berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Edar dadah: Wanita warga Thai berdepan hukuman mati

TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, selepas berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis ganja semasa memasuki negara ini melalui sempadan Padang Besar pada 8 Oktober lalu.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang wanita warga Thailand berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja semasa memasuki negara ini melalui Padang Besar, pada 8 Oktober lalu.

Tertuduh, Kittiya Chaiyaphuek, 27, mengangguk faham dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Thailand dihadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, wanita itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 1.735 kilogram pada 8 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, sekitar pukul 6.15 petang.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhkan dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis, Nurul Idayu Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nurul Idayu memohon mahkamah agar tidak memberikan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan kes itu adalah kesalahan berat yang membabitkan hukuman mati.

Mahkamah kemudian menetapkan agar tiada sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Januari tahun hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×