PETALING JAYA: Program Pembentukan Karakter akan dimulakan pada peringkat prasekolah dan merupakan inisiatif utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya berkata, pada peringkat prasekolah, ia akan dilaksanakan secara bersepadu menerusi aktiviti harian pembelajaran.
“Pada peringkat sekolah rendah dan menengah pula, masa khusus selama 60 minit seminggu akan diperuntukkan dalam jadual waktu bagi membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus,” katanya.
Menurut KPM, program itu menekankan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan kepada aktiviti yang menumpukan penghayatan nilai, tingkah laku positif, serta penerapan adab dan akhlak dalam konteks kehidupan seharian murid.
Tambahnya, Program Pembentukan Karakter merupakan anjakan strategik dalam sistem pendidikan negara bagi memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai murni secara menyeluruh serta berstruktur dalam kalangan murid.
Katanya, inisiatif itu cerminan komitmen KPM untuk melahirkan generasi yang holistik dalam aspek akademik, sahsiah dan jati diri.










