Nilai semula tahap keselamatan anak-anak di sekolah

Nilai semula tahap keselamatan anak-anak di sekolah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebuah sekolah di Melaka, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga diperkosa bergilir-gilir oleh dua senior di dalam kelas yang sepatutnya ruang itu menjadi taman ilmu. Lebih menyayat hati, perbuatan jijik itu dirakam dan ditonton pula oleh rakan mereka. Pada detik itulah papan putih menjadi saksi ngeri, meja belajar menjadi lantai jenayah dan telefon bimbit bertukar menjadi senjata yang menormalisasi kezaliman. Ini bukan sekadar berita jenayah, tetapi isyarat bahawa sistem sosial dan pendidikan kita sedang sakit parah.

Maruah Itu Suci: Amanah yang Dikhianati
Allah SWT menegaskan dalam Al-Quran yang memuliakan manusia: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam.” (al-Isrā’ 17:70). Maruah (‘ird) ialah maqasid tertinggi syariah iaitu sebaris dengan penjagaan nyawa dan akal.

Bila maruah seorang anak dipijak di ruang ilmu, kita menyaksikan pengkhianatan berganda terhadap amanah ibu bapa, guru dan Tuhan. Nabi SAW mengingatkan: “Lā arar wa lā irār” iaitu tidak memudaratkan dan tidak membalas mudarat. Namun dalam kes ini, mudarat itu merobek tubuh, menghancurkan jiwa dan memadam masa depan.

Trauma Seorang Anak: Luka yang Tidak Berdarah
Sebenarnya, trauma bukan sekadar tajuk utama di akhbar tetapi ia luka senyap yang menyusup ke dalam tidur, kelas dan sisa hidup seorang anak. Kajian psikologi menunjukkan mangsa rogol berisiko tinggi mengalami gangguan stres pascatrauma (PTSD), kemurungan, kecemasan dan rasa bersalah yang menghantui sepanjang kehidupannya.

Tanda awalnya jelas seperti enggan ke sekolah. Sarjana psikotrauma kontemporari menegaskan bahawa mangsa memerlukan intervensi trauma-informed, menyediakan ruang selamat, bahasa yang tidak menyalahkan mangsa serta kaunseling berterusan. Dalam Islam, usaha memulihkan trauma bukan pilihan, tetapi fardu kifayah. Prinsip raf‘ al-araj (mengangkat kesusahan) dan jalb al-ma la ah (mendatangkan maslahat) mewajibkan masyarakat, sekolah dan negara bertindak bersama untuk memulihkan jiwa yang luka ini.

Dosa Digital: Ketika Telefon Jadi Saksi dan Senjata
Apa yang lebih menyedihkan, dosa kini dirakam dalam resolusi tinggi. Budaya rakam-tular menjadikan kezaliman sebagai hiburan. Merakam dan menonton perbuatan aib sebenarnya bukan “kenakalan remaja” tetapi ia dosa berganda yang disebut ulama sebagai i‘ānah ‘alā al-ithm iaitu membantu memaharaja relakan lagi dosa.

Ia juga melukakan mangsa kali kedua dan menjadikan jenayah itu bahan tular yang menghapus empati. Sebenarnya, kita gagal mendidik jari sebelum memberi telefon kepada anak-anak kita yang sepatutnya mengajar adab sebelum memberi akses. Apa yang pasti, literasi digital tanpa literasi iman melahirkan tangan yang cekap merakam dosa tanpa rasa malu dan bersalah.

Sekolah Yang Lalai: Bila Sistem Hilang Jiwa
Institusi pula tidak boleh terus bersembunyi di sebalik frasa “kami menunggu laporan.” Sekolah mesti mempunyai SOP Child Safeguarding yang hidup yang bukan hanya dokumen mati di laci. Setiap sekolah wajib ada laluan aduan sulit, guru yang terlatih sebagai first responder, pelajar yang berperanan sebagai student safeguarding ambassadors dan kerjasama dengan hospital serta unit kanak-kanak di peringkat kepolisan.

Reka bentuk sekolah juga mencerminkan akhlak seperti pintu yang auto-close, koridor tanpa titik buta serta rondaan berkala di zon sunyi. Kementerian Pendidikan mesti meletakkan “audit perlindungan kanak-kanak” sebagai syarat penarafan sekolah. Ini bukan tentang prosedur tetapi tentang jiwa institusi pendidikan.

Keadilan Bukan Sekadar Hukuman
Tuntasnya, elemen keadilan mesti pantas dan bermaruah kerana siasatan yang lambat membunuh keyakinan dan siasatan yang bocor pula membunuh maruah. Bukti digital juga mesti dikawal rapi dan penyebar video aib mesti dihukum setimpal. Dalam disiplin ta‘zīr, hukuman berperanan mendidik dan mencegah.

Namun keadilan bukan sekadar menghukum pelaku, tetapi membina semula sistem yang rosak. Begitu juga pihak sekolah mesti menjalani proses penyembuhan sosial contohnya bengkel empati, modul hormat tubuh dan pendidikan consent (izin dan batas) berasaskan syariah dan undang-undang.

Sarjana pendidikan Islam menegaskan tanpa whole-school approach, maka semua intervensi hanyalah kosmetik moral.

Budaya Diam: Ketika Masyarakat Jadi Penonton
Budaya diam juga membunuh kerana takut nama sekolah tercemar dan bimbang reputasi keluarga tercalar lalu suara mangsa dibisukan. Al-Quran menegur: “Mengapa kamu tidak melarang kemungkaran?” (al-Mā’idah 5:79). Sebenarnya, diam dalam kezaliman bukan menjaga maruah, tetapi mengkhianati kebenaran. Sarjana kontemporari seperti Dr. Tariq Ramadan mengingatkan, “Masyarakat yang takut menegur kezaliman sedang menulis skrip kehancurannya sendiri.”

Kita sebagai bangsa yang bertamadun seharusnya perlu berani menyentuh isu kehormatan manusia dengan bahasa rahmah dan bukannya dengan retorik menyalahkan pakaian, gaya, atau “takdir” kerana takdir tidak membenarkan kezaliman tetapi takwa yang menegahnya.

Apa yang perlu kita lakukan kini jelas:

Pertama, pastikan mangsa mendapat rawatan perubatan dan psikospiritual iaitu zikr-nafas, doa ma’tsūr dan terapi Islamik.

Kedua, aktifkan semula SOP perlindungan kanak-kanak melalui simulasi sebenar.

Ketiga, teguhkan kolaborasi sekolah, polis dan hospital dalam menangani kes rogol remaja.

Keempat, latih guru dan kaunselor secara berkala, bukan sekadar sekali dalam kerjaya.

Kelima, gerakkan kempen literasi maruah dan etika digital untuk pelajar dan ibu bapa.

Keenam, hukum pelaku dan penyebar rakaman tanpa kompromi.

Persoalannya kini apakah wajah sebenar sekolah kita? Adakah ia taman ilmu atau lorong gelap yang menyembunyikan tangisan anak kita? Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah memerintahkan keadilan dan ihsan…” (al-Nahl 16:90).

Ihsan dalam konteks ini bukan sekadar belas kasihan tetapi keberanian memulihkan maruah yang koyak dan menyembuhkan jiwa yang retak. Hakikatnya, andainya jika kita gagal membela seorang anak yang teraniaya, yang reput bukan hanya nama sebuah sekolah tetapi nurani sebuah bangsa. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Zaizul Ab. Rahman ialah pensyarah kanan di Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×