KANGAR: Keadaan jangkitan Influenza A di negeri ini masih terkawal dengan sebanyak 19 kes direkodkan di sekolah rendah dan menengah sekitar Perlis bagi tempoh bermula dari 1 sehingga 13 Oktober.
Bagaimanapun, tiada mana-mana sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis ditutup berikutan daripada penularan virus berkenaan.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, situasi di sekolah-sekolah sekitar Perlis masih terkawal dan data kes diperolehi itu adalah laporan daripada pihak sekolah selepas mendapat makluman daripada ibu-bapa atau pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sekolah akan melaporkan kes kepada JPN negeri untuk penilaian lanjut dan statistik ini mungkin berbeza daripada data rasmi KKM yang dikemas kini secara berpusat,” katanya di sini semalam.
Rose Aza berkata, buat masa ini, murid-murid digalakkan untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bagi menggelakkan penularan virus itu.
Katanya, JPN negeri juga akan terus memantau perkembangan situasi penularan virus itu secara berterusan dengan kerjasama KKM dan sekolah-sekolah bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid-murid sentiasa terpelihara.
“Sebagai langkah pencegahan awal, JPN negeri telah mengeluarkan surat pemakluman dan peringatan kepada semua sekolah melalui saluran rasmi dan kumpulan komunikasi digital.
“Selain itu, bahan kesedaran turut diedarkan seperti e-poster kawalan dan pencegahan yang diedarkan oleh KKM melalui platform media sosial dan saluran rasmi JPN,” katanya.
Dalam pada itu, Rose Aza berkata, Influenza A merupakan sejenis virus selesema yang menjangkiti sistem pernafasan termasuk hidung, tekak dan paru-paru.
Tambahnya, virus ini boleh menyebabkan epidemik bermusim dan dalam sesetengah keadaan boleh menjadi pandemik global.
“Antara gejala lazim termasuk demam panas, batuk, sakit tekak, sakit otot, keletihan, selesema dan sesak nafas,” katanya.-UTUSAN










