Peluang cerah ke Piala Asia 2027

Peluang cerah ke Piala Asia 2027

Arif Aiman Hanapi diasak pemain Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laluan Harimau Malaya untuk ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi semakin ‘terang’ selepas anak buah Peter Cklamovski mengutip 12 mata maksimum selepas empat perlawanan kelayakan.

Empat kemenangan yang diraih skuad negara dalam aksi Kumpulan F meletakkan mereka dipuncak kumpulan dan sekiranya kedudukan itu kekal, maka tiket ke Piala Asia 2027 akan menjadi hak mutlak skuad kebangsaan.

Prestasi cemerlang ini perlu diteruskan dalam dua baki aksi peringkat kelayakan dengan Malaysia akan berdepan Nepal pada 18 November ini di laman sendiri sebelum membuat perhitungan akhir dengan Vietnam pada Mac tahun depan.

Pertembungan dengan Vietnam itu menjanjikan aksi sengit kerana bakal menjadi penentu pasukan mana yang akan mara ke Piala Asia dan skuad Naga emas pasti ada misi untuk membalas dendam ke atas Malaysia.

Biarpun dicanang sebagai pasukan pilihan, Vietnam yang berada di ranking ke-114 dunia dimalukan oleh Malaysia pada 10 Jun lalu apabila dibelasah 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus mengejutkan arena bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Untuk rekod, hanya juara kumpulan sahaja bakal layak ke Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula pada 7 Januari hingga 5 Februari 2027 dengan edisi kali ini diadakan di Arab Saudi.

Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh terlalu awal untuk bergembira kerana ketika ini berkemungkinan berdepan risiko pemotongan mata kerana menurunkan pemain tidak ‘sah’ ketika berdepan Nepal dan Vietnam.

Ini selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung tujuh pemain warisan kerana didakwa menggunakan dokumen palsu untuk membolehkan kesemua mereka beraksi mewakili Malaysia.

Pada bulan lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen untuk membolehkan pemain beraksi mewakili Malaysia.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Ketika ini, FAM sudah menghantar rayuan rasmi beserta dokumen-dokumen yang diperlukan kepada FIFA berhubung hukuman yang dikenakan badan induk bola sepak dunia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×