SHAH ALAM: ‘Dunia ini palsu. Saya sudah menang’. Itu nota yang ditinggalkan oleh suspek berusia 14 tahun yang menikam mati pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan penemuan nota tersebut yang dirampas ketika tangkapan dan pemeriksaan awal terhadap suspek lelaki yang berusia 14 tahun.
“Nota berkenaan kini disiasat oleh pegawai penyiasat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.
Sementara itu, Shazeli berkata, suspek yang dipercayai menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun hingga mati itu memendam perasaan cinta terhadap mangsa.
Namun, katanya, suspek tidak pernah meluahkan perasaan kepada mangsa dan kedua-dua mereka tidak mengenali satu sama lain memandangkan umur dan kelas tidak sama.
“Siasatan awal kes ini mendapati tiada unsur buli yang menjurus ke arah perbuatan itu. Faktor dorongan emosi dan pengaruh media sosial dikenal pasti sebagai antara punca tindakan suspek berkelakuan sedemikian,” katanya.
Shazeli memberitahu, pisau dan kerambit yang dirampas daripada suspek lelaki semalam dibeli secara dalam talian dan senjata itu sudah lama dalam pemilikan suspek tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Sementara itu, bapa mangsa mendakwa, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa sebelum kejadian dan hatinya remuk dengan perbuatan anaknya itu.
Lelaki berusia 40 tahun itu berkata, beliau tidak menyangka anaknya sanggup melakukan perbuatan sedemikian memandangkan dia seorang pendiam dan bersifat introvert.
“Hari itu bermula seperti biasa. Saya hantar dia ke sekolah pada waktu pagi dan dia tidak menunjukkan apa-apa kelakuan pelik.
“Anak saya bukan pelajar cemerlang, tetapi dia juga bukan jenis yang suka buat masalah,” katanya seperti dilapor akhbar China Press.
Lelaki itu berkata, dia sedar tiada sebarang permohonan maaf yang mampu menebus apa yang sudah berlaku.
“Saya tahu apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak memberi sebarang makna.
“Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan keluarga mangsa,” katanya dalam nada sebak. – UTUSAN











