Penduduk dakwa terpaksa hirup debu, habuk kilang

Penduduk dakwa terpaksa hirup debu, habuk kilang

Muhamad Arafat Varisai Mahamad (kiri) mendengar penerangan daripada wakil Majlis Bandaraya Ipoh mengenai aduan penduduk berkenaan operasi kilang pasir di Ipoh, Perak semalam. – Utusan/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk sekitar Desa Tambun, Jalan Ampang di sini terpaksa menghirup debu dan menanggung bunyi bising akibat operasi sebuah kilang mempro­ses pasir yang didakwa mencemarkan kawasan perumahan mereka.

Masalah itu dikatakan berlarutan sejak beberapa bulan lalu hingga menjejaskan keselesaan lebih 1,000 penduduk di kawasan berhampiran.

Ahli Jawatankuasa Pemba­ngunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tambun, Sukor Mat berkata, penduduk terpaksa berdepan habuk tebal yang menyelaputi rumah serta kenderaan mereka setiap hari.

“Kami tidak tahu sama ada habuk ini membahayakan kesihatan atau tidak. Setakat ini, sudah tiga aduan rasmi dikemukakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta,” katanya ketika ditemui dalam tinjauan ke lokasi ber­kenaan di sini semalam.

Turut serta ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang hadir bersama wakil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak bagi menilai aduan penduduk.
Muhamad Arafat berkata, pertemuan awal dengan pihak kilang diadakan bagi mendapatkan penjelasan serta dokumen kelulusan operasi premis ber­kenaan.

“Masih ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan terutama mengenai tahap pelepasan habuk dan kelulusan persekitaran. Kami akan mengadakan pertemuan susulan minggu depan untuk meneliti dokumen lengkap daripada pihak syarikat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang operasi industri yang menjejaskan kesejahteraan penduduk tidak akan dikompromi dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya terdapat pe­langgaran undang-undang.

Penduduk berharap pihak berkuasa dapat segera menyelesaikan isu tersebut agar kehidupan harian mereka kembali aman tanpa gangguan bunyi dan pencemaran debu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×