Remaja ‘bermasalah’ bermula dari rumah?

Remaja ‘bermasalah’ bermula dari rumah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERTURUT-turut kes salah laku ganas dilaporkan di sekolah.

Lantas menimbulkan persoalan apa yang sedang berlaku kepada anak-anak remaja, kini?

Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Sabihah Johan berkata, kejadian itu bukan sekadar kes terpencil.

Ia adalah tanda amaran kepada krisis nilai dan kelemahan kawalan emosi dalam kalangan remaja.

“Remaja hari ini berdepan tekanan sosial yang luar biasa berbanding mengalami persaingan akademik, pengaruh media sosial, hingga persekitaran keluarga yang tidak stabil.

“Dalam keadaan ini, nilai empati, hormat dan sabar semakin terhakis.

“Remaja yang gagal mengurus emosi mudah bertindak di luar batas kemanusiaan, termasuk menggunakan kekerasan untuk meluahkan kemarahan atau mempertahankan ego,” katanya.

RUMAH ‘SEKOLAH’ KASIH SAYANG
Setiap anak belajar mengenal dunia bermula di rumah.

Namun, kata Dr. Sabihah, apabila rumah tidak lagi menjadi tempat kasih sayang, bimbingan dan komunikasi, anak-anak mula hanyut.

Konflik rumah tangga, gaya asuhan terlalu keras atau longgar dan komunikasi lemah membentuk anak yang sukar mengawal diri.

“Institusi keluarga merupakan medan sosialisasi pertama bagi setiap individu. Namun, apabila fungsi ini lemah, risiko salah laku dalam kalangan anak-anak meningkat dengan ketara,” katanya yang juga kaunselor berdaftar.

Bagi membendung krisis nilai, Dr. Sabihah berkata, semuanya harus bermula dari rumah.

Komunikasi yang terbuka, empati dan teladan positif daripada ibu bapa merupakan kunci utama.

“Bagi membendung kes salah laku ganas di sekolah, keluarga perlu kembali menjadi institusi kasih sayang, komunikasi dan bimbingan nilai kepada anak-anak.

“Gabungan sokongan keluarga yang stabil dan sistem kaunseling sekolah yang efektif mampu membina daya tahan emosi serta membentuk nilai kemanusiaan dalam diri pelajar,” kongsinya.

Selain itu, ibu bapa juga disaran memantau pendedahan media terhadap anak serta pergaulan rakan sebaya bagi mengurangkan risiko gejala sosial.

Tambahnya, dalam sistem pendidikan, kaunselor sepatutnya menjadi tempat pelajar mencari ketenangan dan panduan.

Namun, stigma masih wujud tatkala bilik kaunseling sering dianggap ‘tempat untuk pelajar bermasalah’ dan bukan ruang sokongan emosi.

“Stigma dilihat telah berkurang namun ada juga situasi yang mendesak stigma kepada perkhidmatan kaunselor semakin menebal.

“Sekolah perlu mengukuhkan peranan kaunselor bukan sekadar sebagai pemberi nasihat, tetapi fasilitator kesejahteraan mental dan penghubung antara pelajar, guru dan keluarga,” sarannya.

Kesimpulannya, pencegahan salah laku pelajar memerlukan kolaborasi menyeluruh antara keluarga, sekolah, komuniti dan agensi kerajaan.

Langkah yang boleh diambil termasuk pendidikan nilai sejak peringkat awal persekolahan, intervensi berasaskan bukti seperti kaunseling ekspresif dan seni terapi serta penglibatan ibu bapa secara aktif dalam aktiviti sekolah.

Tragedi tikaman di sekolah bukan sekadar isu disiplin, tetapi cerminan kepada kepincangan nilai dalam keluarga dan masyarakat.

“Pembentukan insan bermoral tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah atau kerajaan semata-mata.

“Ia bermula dari rumah sendiri di mana anak belajar erti kasih sayang, tanggungjawab dan batas kemanusiaan.

“Apabila keluarga kukuh, sekolah akan lebih berkesan dalam menyediakan pendidikan dan masyarakat akan lebih sejahtera secara keseluruhannya,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×