Pindah ternakan tanpa kebenaran, tiga individu didenda antara RM3,000 hingga RM5,500

Pindah ternakan tanpa kebenaran, tiga individu didenda antara RM3,000 hingga RM5,500

TIGA lelaki yang memindahkan haiwan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Tiga lelaki masing-masing didenda antara RM3,000 hingga RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan haiwan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Orang Kena Saman (OKS) pertama, Mohamad Khairudin Kasim, 31, dijatuhi denda RM3,000, manakala Mohamad Rizalmi Mahadi, 31, dan Mohamad Amin Hafizul Md. Saidi, 35, masing-masing dikenakan denda RM4,000 dan RM5,500 selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Khairudin yang merupakan pemandu lori didakwa memindahkan 55 ekor kambing hidup tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai diberi kuasa, di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, pada 11.30 pagi, 3 Julai 2025.

Dalam prosiding sama, Mohamad Rizalmi yang juga pemilik ternakan, bersama Mohamad Amin Hafizul, didakwa memindahkan 16 ekor lembu hidup di Lebuh Raya Timur-Barat berhadapan Taman Desa Baiduri, Gerik, pada 1.25 pagi, 6 Mei 2025.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Perak 2008, dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000.

Mahkamah memerintahkan Mohamad Khairudin dipenjara sebulan jika gagal membayar denda, selain melucuthakkan wang hasil jualan ternakan berjumlah RM25,575 yang disimpan dalam akaun amanah jabatan kepada kerajaan.

Bagi dua lagi tertuduh, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda, dan melucuthakkan wang hasil jualan RM32,000 kepada kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin dan Roba’atulaliah Mohd. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×