KUALA LUMPUR: Pegawai tentera yang berdepan pertuduhan menjual maklumat keselamatan taktikal negara masih boleh bertugas seperti biasa atas dasar tanggungjawab namun ditempatkan di jabatan berbeza dalam kementerian.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bagaimanapun berkata, kesemua pegawai terlibat tidak dibenarkan bertugas dalam urusan melibatkan operasi ketenteraan.
“Pegawai-pegawai tentera ini masih boleh meneruskan tugas seperti biasa. Namun, kita tidak benarkan mereka dalam kes-kes berkaitan operasi. Namun, daripada segi perkhidmatan mereka masih boleh meneruskan (tugas).
“Kita juga perlu melaksanakan kawalan kerana keyakinan dalam kalangan rakyat harus kita berikan,” katanya menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor [P-Ketereh] di Dewan Rakyat hari ini.
Baru-baru ini, lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dilaporkan berkata, sebahagian mereka yang ditahan adalah anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) dan tempat mereka sudah digantikan serta-merta.
Adly berkata, SPRM masih menjalankan siasatan terhadap pegawai tentera terlibat dan pihak kementerian sentiasa memberikan kerjasama.
“Kita perlu faham dalam kes-kes seumpama ini, prinsip keadilan dan integriti sentiasa diutamakan. Keyakinan dalam kalangan rakyat juga perlu diberikan.
“ATM akan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa dipelihara,” katanya. – UTUSAN










