KUALA LUMPUR: Sekolah yang mempunyai rekod kes buli bagi tempoh dua tahun terkini antara kriteria ditetapkan bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemasangan 200 CCTV di sekolah berasrama bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan peruntukan RM3 juta bermula sejak 13 Oktober lalu, yang turut menilai kepadatan penghuni atau enrolmen murid bagi tujuan pemasangan peranti itu.
“Perlindungan sedia ada (sama ada ketiadaan CCTV atau liputan CCTV yang tidak mencukupi).
“Kesiapsiagaan infrastruktur elektrik dan rangkaian (dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada Kementerian Kerja Raya) dan pengesahan semakan tapak berserta khidmat nasihat teknikal bagi penempatan kamera daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO),” katanya.
Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai perincian terkait inisiatif untuk memasang peranti CCTV bagi menangani isu buli terutamanya kriteria pemilihan sekolah yang akan menerima pelaksanaan pemasangan berkenaan.
Fadhlina berkata, KPM telah menyediakan panduan dalaman bagi pemasangan CCTV yang digariskan di kawasan institusi pendidikan, khususnya di asrama sekolah.
Katanya, panduan itu bagi memastikan pelaksanaan pemasangan CCTV mematuhi prinsip perlindungan data peribadi serta privasi murid selaras dengan kehendak undang-undang dan dasar KPM.
“Pelaksanaan pemasangan CCTV di asrama-asrama yang lain akan dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada peruntukan kewangan serta inisiatif Belanjawan 2026.
“KPM menegaskan pemasangan CCTV secara berfasa ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan murid. KPM komited untuk memperkukuh keselamatan dan mengurangkan risiko buli di sekolah dan asrama seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










