KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan cadangan menghubungkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekolah secara terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya pemantauan dapatkan dilakukan secara ‘real time’.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN menyambut baik syor tersebut namun memerlukan masa untuk memperhalusi dan mengambil kira aspek penggunaan perkakasan, sistem dan perangkaian.
“Kementerian Pendidikan (KPM) diberi peruntukan sebenar RM8 juta. Ini untuk tujuan pemasangan CCTV di kawasan strategik sekolah. Dengan itu, tentunya untuk meningkatkan langkah keselamatan dan pemantauan ini dapat dilakukan.
“(Ada) Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan perkara ini bertanya secara khusus apakah boleh nanti setelah dipasang CCTV di sekolah boleh menghubungkan dengan sistem PDRM?
“Saya menyambut baik idea ini. (Tapi) ia melibatkan soal perkakasan, sistem, soal networking (perangkaian). Saya akan meminta pihak KDN melihat kemungkinan hal ini boleh dilaksanakan supaya pengawasan bersifat ‘real time’ (masa sebenar) akan dapat dilakukan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata, selain pemasangan CCTV, antara langkah lain yang boleh diambil adalah dengan meningkatkan pengawasan polis di kawasan sekolah bersifat ‘omni-presence’.
Selaras dengan arahan Jemaah Menteri, beliau mengarahkan pasukan polis untuk meningkatkan pengawasan terutama menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV), unit rondaan motokar dan motosikal.
“Ia supaya keberadaan pasukan polis dapat meningkatkan lagi keyakinan keselamatan sekolah dan menghalang pelaku daripada melaksanakan niat mereka (lakukan jenayah),” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menuntut pembabitan pihak seperti Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) supaya memainkan peranan dalam menangani isu berbangkit di sekolah.
Berdasarkan statistik terkini kes buli di sekolah, sebanyak 87 kes direkodkan sepanjang Ogos hingga September tahun ini. Bagi kes rogol yang berlaku dalam kawasan sekolah, sebanyak 112 kes dilaporkan dalam tempoh 2022 hingga 2025.
Daripada jumlah itu, sebanyak 27 kes berlaku pada 2022, 22 kes (2023), 29 kes (2024) dan 34 kes (setakat September 2025).
Kes bunuh dalam kawasan sekolah pula setakat ini merekodkan dua kes, masing-masing membabitkan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama. – UTUSAN










