SHAH ALAM: Pasangan suami isteri yang juga doktor kesihatan dan kecantikan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar Akta Kaunselor berkaitan penganjuran program motivasi rumah tangga, eHati tahun lalu.
Tertuduh, Shazifh Osman, 38, dan Munira Hishamshah, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Kedua-dua tertuduh dipercayai bertindak sebagai fasilator bagi penganjuran program berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menjalankan satu kesalahan di bawah amalan sebagai kaunselor yang berdaftar di dewan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Seksyen 15 di sini, antara 27 hingga 30 September tahun lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 (1) (a) Akta Kaunselor 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM30,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mencadangkan kos jaminan masing-masing RM10,000 selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan, namun peguam Alhirzan Mahamad Akhir memaklumkan kedua-dua anak guamnya hanya mampu membayar RM3,000.
“Perniagaan mereka telah merudum dan Munira menanggung ibu yang mempunyai penyakit barah payu dara. Munira juga mengalami depresi sebelum ini. Kedua-duanya juga menanggung tiga lagi pekerja di klinik mereka selain telah memberi kerjasama kepada polis sebelum ini,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 kepada Shazifh dan RM5,000 terhadap Munira bersama seorang penjamin selain pasport mereka diserahkan serta menetapkan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 November depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seramai 90 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes melibatkan program eHati antaranya fasilitator, peserta dan kakitangan syarikat terlibat.-UTUSAN.









