PETALING JAYA: Ibu bapa pelajar sekolah menengah di Bandar Utama di sini yang terlibat kes gadis maut ditikam semalam menggesa pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan.
Rata-rata mereka ketika ditemui berkata, mereka amat bimbang dengan keselamatan anak masing-masing dan terkejut dengan kejadian yang berlaku.
Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nasir, 50-an berkata, dia tidak sangka kejadian itu berlaku di lokasi terbabit yang merupakan sekolah empat anaknya sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, dia datang ke sekolah berkenaan pada 10 pagi semalam untuk menghantar makanan kepada dua anaknya dan terkejut apabila melihat sebahagian pelajar sudah dipindahkan keluar dari kelas.
“Anak perempuan saya sangat terkejut dan dia menangis tanpa henti serta tidak dapat ditenangkan ketika itu. Saya tahu cerita ini daripada rakan anak yang berada bersamanya,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun katanya, dia tidak bercadang memindahkan anaknya daripada sekolah berkenaan.
“Saya rasa langkah lebih ketat perlu diambil, termasuk melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa. Pihak berkenaan hanya perlu memperketatkan kawalan keselamatan,” jelasnya.
Seorang lagi bapa pelajar, Johari Hashim, 58, berkata, kejadian jenayah membabitkan penggunaan senjata dalam kalangan pelajar sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya.
Katanya, dia berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan susulan yang lebih serius bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin pada masa hadapan.-UTUSAN










