SAYA menulis surat ini bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi sebagai salah seorang penduduk yang pernah merasai sendiri trauma serta kehilangan, akibat letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025.
Pengalaman ini membuka mata kita tentang betapa rapuhnya sistem keselamatan di sebalik pembangunan yang pesat. Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa apa yang dahulu dianggap sebagai “pergerakan tanah” atau “tekanan semula jadi” sebenarnya melibatkan faktor luaran, yang berpunca daripada aktiviti manusia di sekitarnya.
Semakin jelas kini bahawa pembangunan tidak terkawal berhampiran laluan paip gas berpotensi mencetuskan risiko besar yang tidak boleh lagi diabaikan.
Ini menimbulkan persoalan utama: Bagaimana projek perumahan di Putra Heights boleh diluluskan berhampiran infrastruktur berisiko tinggi seperti paip gas bertekanan tinggi yang telah lama wujud? Mengapa maklumat penting seperti ini tidak dimaklumkan kepada pembeli rumah? Tidakkah pihak berkuasa perlu memastikan keselamatan awam menjadi syarat mutlak sebelum sebarang pembangunan diluluskan?
Lebih membimbangkan, insiden hampir serupa berlaku pula di Kerteh, Terengganu baru-baru ini. Syukur, tiada kemalangan jiwa berlaku berkat tindakan pantas pihak berkuasa dan pemilik paip gas.
Setiap kerja tanah, pembinaan, atau penggalian berhampiran kawasan laluan paip mesti dikawal dengan tegas, dinilai secara profesional dan dipantau oleh pihak berkuasa serta pemilik infrastruktur. Sebarang kelulusan pembangunan tanpa proses ini adalah satu pengabaian tanggungjawab.
Persoalan yang lebih besar perlu dijawab dengan jujur: Siapakah yang memastikan pematuhan terhadap garis panduan keselamatan ini? Siapakah yang meluluskan kerja-kerja tersebut tanpa mengambil kira pandangan pihak pemilik paip gas? Dan apabila insiden berlaku, mengapa pihak kontraktor yang terlibat memilih untuk berdiam diri? Dalam situasi seperti ini, diam bukan tanda tanggungjawab, tetapi tanda culas terhadap keselamatan awam.
Di Putra Heights, syarikat pemaju dan kontraktor tidak pernah tampil menjelaskan keadaan. Tiada permohonan maaf, tiada kenyataan rasmi, malah tiada kehadiran bagi menunjukkan solidariti dengan mangsa. Kini di Kerteh, sejarah kelihatan berulang.
Apakah nilai kemajuan jika ia dibina atas risiko yang membahayakan nyawa?
Sudah tiba masanya kita menilai semula pendekatan terhadap pembangunan di kawasan yang menempatkan infrastruktur kritikal negara. Undang-undang dan peraturan yang sedia ada perlu dikaji dengan lebih mendalam.
Pemilik infrastruktur seperti paip gas perlu diberi hak suara dan kuasa kelulusan mutlak terhadap sebarang pembangunan berhampiran aset mereka. Setiap projek perlu disertakan dengan penilaian risiko bebas, pemantauan masa nyata dan pendedahan awam terhadap pelan keselamatan, agar masyarakat tahu dan dapat menilai sendiri tahap keselamatan kawasan tempat mereka tinggal.
Kejadian di Kerteh harus dijadikan pengajaran besar kepada semua pihak, bahawa bahaya sebenar bukan datang daripada paip di bawah tanah, tetapi daripada kelekaan, ketidakselarasan dan kegagalan untuk berkoordinasi di permukaan atasnya.
Apa yang masyarakat harapkan hanyalah kejujuran, keberanian untuk bertanggungjawab dan kesediaan untuk memperbetulkan kesilapan.
Sudah tiba masanya semua pihak yang terlibat, sama ada pemaju, kontraktor, mahupun pihak berkuasa, tampil dengan keterbukaan dan komitmen sebenar untuk menegakkan keselamatan awam. Hanya dengan sikap telus dan akauntabiliti inilah keyakinan dapat dipulihkan dan masa depan yang lebih selamat dapat dibina bersama. – UTUSAN
YUSOF ISMAIL
Penduduk yang prihatin










