PETALING JAYA: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kecergasan dua jaguh negara, Muhamad Aniq Kasdan dan Muhammad Erry Hidayat ketika Sukan SEA Thailand semakin hampir Disember ini.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, kedua-dua atlet cedera selepas menyertai beberapa kejohanan antarabangsa baru-baru ini.
Katanya, Aniq mengalami kecederaan ketika beraksi di Kejohanan Asia di China manakala Erry pula mengalami masalah kecederaan sewaktu saingan di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Forde, Norway.
“Kita harap Aniq dapat pulih sepenuhnya dalam masa terdekat, manakala Erry telah diarahkan menjalani pemeriksaan dan pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ayub menjelaskan sebahagian atlet kebangsaan baru sahaja menamatkan saingan di Norway dan kini menyambung latihan di Bukit Jalil sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA.
Beliau turut mengakui cabaran getir menanti kontinjen negara, khususnya dari Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina yang kini menunjukkan prestasi memberangsangkan di pentas antarabangsa.
“Kita meletakkan sasaran yang tinggi walaupun belum diumumkan secara rasmi. Namun, berdasarkan prestasi semasa.
“Saya yakin pasukan angkat berat mampu membawa pulang beberapa pingat untuk negara,” katanya.
Ayub menegaskan, tempoh sembilan minggu menjelang temasya itu amat penting bagi memastikan semua atlet berada pada tahap terbaik dan bebas daripada kecederaan.
“Kami yakin dengan semangat dan kerja keras atlet, skuad angkat berat negara mampu mencipta sesuatu yang membanggakan di Thailand nanti,” tambahnya. – UTUSAN










