BARU-BARU ini kita kembali dikejutkan dengan laporan media mengenai kes buli di tempat kerja yang membawa kepada kesan mental dan fizikal.
Situasi ini sering kali disalah erti sebagai tekanan kerja biasa atau konflik interpersonal, sehingga dibiarkan berlarutan dan memusnahkan semangat serta produktiviti mangsa.
Hakikatnya, polisi semata-mata tidak berkesan tanpa usaha yang proaktif dan berterusan. Pendekatan yang paling kritikal untuk membendung wabak ini ialah melalui pelaksanaan latihan secara profesional dan berkala.
Langkah pertama dalam menyelesaikan sebarang masalah ialah memahami definisinya. Ramai pekerja dan majikan sendiri sering keliru dalam membezakan antara tekanan kerja yang sihat dengan buli destruktif.
Buli boleh mengambil pelbagai bentuk dari jeritan dan kata-kata menghina yang jelas hingga kepada tindakan halus seperti boikot sosial, penyebaran khabar angin atau sengaja menahan maklumat penting yang diperlukan untuk melakukan tugas.
Latihan profesional yang dirangka oleh pakar (seperti psikologi organisasi atau peguam buruh) dapat menerangkan sempadan ini dengan jelas. Melalui modul latihan, kedua-dua pekerja dan pengurusan dapat belajar mengenal pasti tingkah laku buli, membezakan antara arahan keras dan penderaan serta memahami garis panduan untuk melaporkan insiden tersebut.
Pengetahuan ini mewujudkan persekitaran yang mana buli tidak boleh disalah erti atau disembunyikan.
Polisi yang digantung di dinding tidak akan mengubah budaya sesebuah organisasi. Perubahan budaya hanya boleh berlaku melalui pendidikan dan penjanaan kesedaran yang berulang.
Latihan berkala berfungsi sebagai ‘pengingatan’ yang kuat tentang nilai-nilai teras organisasi iaitu saling menghormati dan bersikap profesional.
Latihan yang baik tidak sekadar menyenaraikan apa yang tidak boleh dilakukan tetapi juga membina kemahiran. Ia boleh merangkumi modul komunikasi berkesan, penyelesaian konflik dan kecerdasan emosi.
Apabila pekerja dilatih untuk berkomunikasi dengan lebih baik dan memahami perspektif rakan sekerja, insiden yang berpunca daripada salah faham dapat dikurangkan. Latihan ini menjadikan empati sebagai amalan biasa, bukan sekadar teori.
Sudah tentu, akan ada yang berhujah latihan sedemikian membazir masa dan sumber.
Mereka mungkin berkata, “Kami ada tarikh akhir untuk dipenuhi” atau “Ini adalah isu sensitif yang sukar ditangani.” Namun, pandangan jangka pendek ini mengabaikan kos besar terpaksa ditanggung akibat buli iaitu peningkatan ketara dalam cuti sakit, kadar pusing ganti pekerja yang tinggi, penurunan produktiviti dan reputasi organisasi tercalar.
Pelaburan untuk latihan pencegahan adalah jauh lebih murah berbanding kos untuk menguruskan krisis, saman undang-undang dan kehilangan pekerja yang berbakat.
Oleh itu, penting untuk semua pihak baik kerajaan, majikan mahupun pekerja mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam memerangi buli di tempat kerja.
Kementerian Sumber Manusia perlu mempertimbangkan untuk mewajibkan modul latihan pencegahan buli sebagai sebahagian daripada Akta Kerja 1955 atau garis panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Sementara majikan dan bahagian Sumber Manusia, jangan hanya bergantung pada manual pekerja. Laksanakan program latihan wajib tahunan yang dikendalikan fasilitator profesional. Boleh juga wujudkan saluran aduan yang benar-benar sulit dan bebas dari sebarang bentuk tindakan balas.
Pekerja pula perlu ambil inisiatif untuk hadiri latihan dengan serius dan berani bersuara mengikut saluran yang betul jika mengalami atau menyaksikan sebarang bentuk buli.
Membendung buli di tempat kerja bukanlah tentang mencipta tempat kerja sempurna tetapi mewujudkan persekitaran selamat dan hormat untuk semua.
Latihan berterusan merupakan pelaburan kritikal untuk masa hadapan tenaga kerja Malaysia yang lebih sihat dan produktif.-UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan,
Program Pengurusan Sumber Manusia, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










