MELAKA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tiba di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka sekitar pukul 9.45 pagi tadi, dipercayai bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang dinoda secara bergilir-gilir oleh empat pelajar senior.
Turut kelihatan hadir Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr. Mohd. Azam Ahmad dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam lawatan berkenaan yang dijalankan secara tertutup.
Empat pelajar lelaki Tingkatan Lima ditahan semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan telah direman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Kes tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah Alor Gajah dan telah menggemparkan masyarakat selepas rakaman insiden itu tular di media sosial sejak semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan bahawa semua suspek berusia antara 17 tahun telah ditahan dan direman mulai 11 hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










