MENTAKAB: Karya terakhir Allahyarham Afzainizam Ismail, 75, yang sepatutnya dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang kelmarin, menjadi penutup hidupnya apabila komposer dan pemuzik itu menghembuskan nafas terakhir dalam tidur Jumaat lalu.
Lagu khas yang dihasilkan atas titah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu disiapkan dalam tiga versi rentak tradisional iaitu inang, joget dan zapin serta memuatkan sebutan daerah-daerah dalam negeri ini sebagai lambang kecintaan Allahyarham terhadap Pahang.
Anak sulung Allahyarham, Putra Aniza, 35, berkata, bapanya sudah memuktamadkan melodi dan susunan akhir lagu tersebut dan hanya menunggu masa menyerahkan fail rakaman dan lirik kepada SUK Pahang sebelum proses pengesahan dan perkenan istana.
“Kami tahu itu projek yang dia paling banggakan sebelum pergi. Dia kata selepas hantar lagu itu, barulah dia rasa kerja dia ‘sempurna’. Tapi Allah lebih sayangnya,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di sini, semalam.
Menantunya, Ahmad Sapian Mohd Rosli, 48, pula menyifatkan pemergian arwah sebagai ‘sunyi tetapi tenang’ kerana tiada sebarang petanda luar biasa selain kerap menyebut amanah lagu untuk Tuanku itu sebagai cita-cita terakhirnya.-UTUSAN.










