KPYPJ dinaik taraf jadi kolej universiti

KPYPJ dinaik taraf jadi kolej universiti

ONN Hafiz Ghazi (baris lima, berdiri tengah) bersama graduan pada Majlis Konvensyen Kumpulan Pendidikan YPJ di Dewan Besar Kolej YPJ, Kota Tinggi, Johor semalam. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kolej Pendidikan YPJ (KPYPJ) bakal dinaik taraf menjadi kolej universiti tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, naik taraf status kolej universiti bagi institusi pendidikan milik kerajaan negeri itu mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, kolej universiti tersebut bakal memulakan pengambilan pertama pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda bermula Februari tahun depan.

“Selanjutnya, saya akan membawa bagi perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi nama rasmi kolej universiti.

“Ini adalah satu kemena­ngan besar dari segi pendidikan kita di Johor selari dengan titah Pemangku Sultan Johor yang mahu mengangkat mutu pendidikan di sini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ berkata demikian selepas me­rasmikan Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ Ke-26, semalam.

Onn Hafiz dalam ucapannya berkaya, kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) komited mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji premium kepada graduan.

Katanya, usaha itu mampu dilaksanakan hasil kerjasama syarikat-syarikat yang melabur di negeri itu, termasuk di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Mohd. Fahmi Salam berkata, seramai 884 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar Kampus Induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di sini.

Mereka terdiri daripada 139 lulusan KYPJ iaitu graduan Diploma Sekolah Kejuruteraan dan Sains Kreatif, Sekolah Pe­ngurusan Sains Sosial (258) dan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (248).

Graduan KKJ pula terdiri 18 lulusan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Pentadbiran Sistem Maklumat, DKM Sistem Komputer (20) dan DKM Pentadbiran Reka Fesyen (11).

Turut sama 47 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pembuatan & Penyediaan Makanan, Pembuatan Pastri (35), Juruelektrik dari KKJ Cawangan Johor Bahru (24), Automotif (39), Juruelektrik dari KKJ cawangan Kluang (38) serta SKM Pembuat Pakaian Wanita dari KKJ Cawa­ngan Batu Pahat (6).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×