PETALING JAYA: Kuasa merotan murid di sekolah perlu dikembalikan kepada guru sebagai langkah mendidik dan memastikan disiplin pelajar.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, tindakan merotan bukan bertujuan untuk membahayakan, sebaliknya sebagai kaedah pengajaran supaya pelajar mengingati kesalahan dan menjadi insan berguna pada masa hadapan.
“Sebab itu kita bersetuju untuk kembalikan semula kuasa merotan kepada guru. Merotan adalah satu bentuk pengajaran untuk diingati kesalahan supaya menjadi manusia yang beriman di masa mendatang,” katanya menerusi hataran di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa pelajar sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka trauma seumur hidup selepas dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas sambil kejadian dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.
Kejadian menimpa mangsa berusia 15 tahun terbongkar petang semalam selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video aib anak sulungnya itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa membuat laporan polis.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika pelajar itu berpatah balik ke kelasnya di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.
Seorang lagi rakannya pula menjaga di kawasan tangga sebelum dua lagi pelajar lelaki lain berusia 17 tahun masuk ke dalam kelas melihat suspek pertama membogelkan mangsa dan merogolnya.
Katanya, kejadian itu disaksikan kesemua empat suspek sebelum suspek kedua juga merogol pengadu manakala suspek ketiga bertindak merakam perbuatan aib itu menggunakan telefon milik suspek pertama.
Mangsa yang dalam keadaan trauma tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehinggalah ibunya dimaklumkan oleh guru selepas video berkenaan mula tersebar dalam kalangan pelajar.
Difahamkan, keempat-empat suspek yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan telah ditahan semalam dan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan bahawa perintah reman selama enam hari telah diperoleh terhadap kesemua suspek bermula hari ini hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan. – UTUSAN










