SEKTOR perkhidmatan diunjur meningkat sebanyak 5.2 peratus pada 2026 didorong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.
Jelasnya, peningkatan itu disumbangkan oleh peningkatan aktiviti pelancongan yang dipacu oleh lonjakan ketibaan dan perbelanjaan pelawat asing sempena Tahun Lawat Malaysia 2026 (VM2026) di samping perbelanjaan pengguna yang mampan.
“Subsektor perdagangan borong dan runcit kekal sebagai penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus, terutamanya dipacu oleh segmen perdagangan runcit.
“Kempen jualan bermusim dan promosi yang rancak di kedai serta platform e-dagang dan media sosial akan menggalakkan aktiviti pembelian.
“Di samping itu, inisiatif seperti demonstrasi produk dan peletakan barangan dalam kedai serta strategi penetapan harga yang menarik akan meningkatkan jualan produk buatan tempatan.
“Sementara itu, segmen kenderaan bermotor dijangka pulih disokong oleh peningkatan tempahan untuk kenderaan baharu,” katanya.
Bagi subsektor pengangkutan dan penyimpanan pula diunjur berkembang sebanyak 7.1 peratus, disokong oleh semua segmen berikutan peningkatan dalam aktiviti rel, lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang.
“Segmen pengangkutan darat dijangka meningkat berikutan permulaan operasi Fasa 1 Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan ETS arah selatan serta pengoperasian Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
“Di samping itu, segmen pengangkutan udara dijangka dipacu oleh peningkatan kekerapan penerbangan, kesalinghubungan laluan dan trafik penumpang antarabangsa sempena penganjuran VM2026.
“Pelaksanaan projek menaik taraf kapasiti lapangan terbang dan insentif bersasar dijangka akan menyokong pertumbuhan segmen penumpang dan kargo. Segmen pengangkutan air diunjur berkembang seiring dengan aktiviti perdagangan yang menggalakkan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, subsektor kewangan dan insurans diunjur berkembang sebanyak 2.8 peratus dengan pertumbuhan positif dalam semua segmen disokong oleh aktiviti ekonomi yang pertumbuhan pinjaman dijangka kekal menyederhana meskipun permintaan kredit yang stabil daripada sektor isi rumah.
“Segmen insurans juga dijangka kekal sederhana dengan pertumbuhan premium yang stabil walaupun pembayaran bersih faedah kekal tinggi terutamanya bagi polisi insurans hayat.
“Subsektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan pula diunjur meningkat sebanyak 6.7 peratus didorong oleh permintaan berterusan untuk perkhidmatan profesional.
“Peningkatan ini dijangka dipacu oleh perkhidmatan berkaitan kejuruteraan berikutan peningkatan permintaan bagi hab logistik, penggudangan serta penerusan pembangunan kawasan perindustrian.
“Perkembangan subsektor ini juga didorong oleh permintaan daripada pelaksanaan projek utama termasuk JS-SEZ serta penerusan aktiviti pembinaan bagi pusat data baharu,” katanya.
Mengulas lanjut, tinjauan itu berkata, subsektor maklumat dan komunikasi diunjur berkembang sebanyak 4.3 peratus terutamanya disumbangkan oleh peluasan teknologi kecerdasan buatan (Al), kapasiti pusat data dan pengkomputeran awan serta sokongan berterusan kerajaan melalui dasar digital yang komprehensif dan penambahbaikan infrastrukur.
“Subsektor ini turut dipacu oleh peningkatan aktiviti perdagangan sosial melalui pelbagai platform sosial serta langganan perkhidmatan media over-the-top (OTT) bagi e-sukan dan hiburan.
“Acara sukan utama seperti Piala Dunia FIFA 2026, Piala Thomas & Uber BWF 2026 serta Sukan Komanwel 2026 dijangka meningkatkan bilangan langganan, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan subsektor ini,” katanya.
Tambahnya, subsektor makanan dan minuman dan penginapan diunjur berkembang sebanyak 6.6 peratus, subsektor utiliti diunjur meningkat sebanyak 1.7 peratus dan subsektor perkhidmatan lain diunjur meningkat sebanyak 4.6 peratus didorong oleh segmen kesihatan dan pendidikan swasta.
“Subsektor perkhidmatan kerajaan diunjur mencatat pertumbuhan sebanyak 6.8 peratus pada 2026 disumbangkan oleh pelaksanaan pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2,” katanya. – UTUSAN











