ENTITI sektor awam kekal sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan terangkum berpandukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.
Laporan berkata, Secara khusus, syarikat awam bukan kewangan (SABK) berfungsi sebagai pembolehdaya utama dalam mewujudkan peluang pekerjaan, memacu keutamaan strategik dan menarik pelaburan swasta.
Katanya, ini dilakukan dengan memanfaatkan sumber awam untuk mencipta peluang baharu dan menggalakkan penglibatan sektor swasta secara lebih meluas.
“Pada masa yang sama, kejayaan entiti milik awam di luar negara mengesahkan kepentingan peranan Malaysia di persada antarabangsa.
“Secara keseluruhan, entiti sektor awam memacu pembangunan negara melalui kerjasama erat awam-swasta dalam memajukan sektor strategik seperti ekonomi digital, pertumbuhan hijau dan industri bernilai tinggi,” katanya.
Menurut laporan itu, kerjasama ini disokong melalui peningkatan pelaburan sektor awam dalam projek pembangunan, di samping pembaharuan berterusan demi memperkukuh kecekapan dan ketelusan.
“Langkah tersebut mencerminkan kepentingan peranan entiti sektor awam dalam memastikan kemampanan fiskal negara, sekali gus merealisasikan aspirasi pembangunan nasional Malaysia,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun hasil dijangka lebih tinggi pada 2025, namun lebihan semasa sektor awam disatukan (CPS) diunjur lebih rendah sebanyak RM29.1 bilion disebabkan oleh lebihan yang lebih kecil seperti dilaporkan oleh SABK.
“Perbelanjaan pembangunan (DE) disatukan dijangka berkurang sebanyak 2.7 peratus kepada RM180.2 bilion mencerminkan perbelanjaan modal yang lebih rendah seiring dengan tahun terakhir Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 – 2025 (RMK12).
“Kedudukan CPS dijangka mencatat defisit keseluruhan yang lebih besar sebanyak RM151.1 bilion pada 2025 atau 7.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas pengasingan transaksi antara unit sektor awam,” katanya. – UTUSAN











