PADA akhir Jun 2025, hutang sektor awam Malaysia meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM1,730.5 bilion atau 85.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding akhir 2024: RM1,660.5 bilion; 86 peratus daripada KDNK, menurut laporan Tinjauan Ekonomi.
Laporan itu berkata, peningkatan ini terutamanya didorong oleh pinjaman Kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 75.4 peratus daripada jumlah hutang sektor awam.
“Hutang badan berkanun dijamin kerajaan meningkat kepada RM105 bilion berikutan terbitan baharu oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk menyokong pengeluaran pinjaman perumahan,” katanya dalam laporan itu.
Sementara itu, hutang bersih syarikat awam bukan kewangan meningkat kepada RM321.4 bilion terutamanya disebabkan oleh aktiviti pembiayaan yang dijalankan oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., DanaInfra Nasional Berhad dan Prasarana Malaysia Berhad.
“Peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh pembayaran balik prinsipal berjadual daripada entiti seperti Jambatan Kedua Sdn. Bhd. dan MKD Kencana Sdn. Bhd.
“Secara keseluruhan, pendedahan hutang sektor awam kepada risiko pertukaran asing kekal terkawal dengan 91 peratus daripada jumlah hutang dalam denominasi ringgit sekali gus menunjukkan komposisi hutang yang berhemat dan pengurusan risiko pertukaran mata wang asing yang efektif,” katanya. – UTUSAN











