MEMBACA kisah kejayaan perniagaan keluarga sering menjadi inspirasi, tanpa mengira latar belakang atau usia.
Di Malaysia, Naza Group, diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin bermula hanya dengan menjual kereta terpakai. Beliau akhirnya mengembangkan empayar ke sektor automotif, hartanah dan hospitaliti.
Hari ini, legasi tersebut diteruskan anak-anaknya dengan mengekalkan nilai asas seperti visi, kerja keras, disiplin dan pengurusan berstrategi. Kejayaan ini membuktikan asas kejujuran dan saling mempercayai menjadi kunci utama kekuatan sesebuah perniagaan keluarga.
Model perniagaan keluarga sebenarnya boleh diteladani sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Saidatina Khadijah RA, seorang pedagang berjaya, memilih Rasulullah untuk mengurus kafilah perniagaannya.
Kejujuran dan amanah Baginda membawa keuntungan berlipat ganda serta mengukuhkan keyakinan Khadijah terhadapnya. Kisah ini menegaskan keberkatan perniagaan berpunca daripada moral, integriti dan kerjasama keluarga.
Dari perspektif Islam, perniagaan bukan sekadar keuntungan material tetapi juga dakwah melalui akhlak yang mulia, membina keluarga berkat dan masyarakat yang adil.
Dalam konteks ini, perniagaan keluarga merupakan tunjang penting ekonomi negara. Kajian menunjukkan lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) datang daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang majoritinya milik keluarga. Ia merangkumi sektor pertanian, peruncitan, pelancongan, industri halal dan pembuatan.
Fenomena ini bukan unik kepada Malaysia. Di India, misalnya, 79 peratus KDNK disumbangkan oleh perniagaan keluarga. Contoh paling terkenal ialah Tata Group, konglomerat yang diasaskan pada abad ke-19 oleh Jamshedji Tata. Syarikat ini berkembang ke sektor automotif, teknologi, tenaga dan hospitaliti, menjadikannya jenama antarabangsa yang dihormati.
Walaupun sumbangan besar dicatatkan, perniagaan keluarga tempatan berdepan cabaran serius. Banyak perniagaan masih beroperasi dengan pendekatan tradisional tanpa pelan peralihan yang tersusun.
Pewaris tidak bersedia dari aspek kepimpinan, pengurusan kewangan atau keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi moden. Tanpa perancangan jelas, legasi yang dibina generasi terdahulu berisiko terhenti separuh jalan.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuka peluang strategik untuk memperkukuh daya tahan perniagaan keluarga. Tiga teras utama pembangunan ekonomi iaitu menaikkan siling (pertumbuhan bernilai tinggi), menaikkan lantai (meningkatkan taraf hidup rakyat) dan memperkukuh tadbir urus memberi asas kukuh kepada kelangsungan perniagaan keluarga.
Walaupun pewarisan perniagaan tidak dinyatakan secara khusus, strategi seperti pemerkasaan PMKS, pembangunan usahawan muda, pemodenan sektor agribisnes, pengukuhan industri halal serta transformasi digital semuanya berkait rapat.
Pewaris yang mampu menggabungkan nilai tradisi dengan strategi pemasaran global akan berada dalam posisi lebih kompetitif.
Menurut Jabatan Perangkaan, PMKS menyumbang 39.5 peratus kepada KDNK pada 2024, dan majoritinya ialah perniagaan keluarga.
Lebih 50 peratus pengusaha inap desa dan pelancongan budaya juga berasaskan keluarga, manakala sektor agribisnes banyak diwarisi dari generasi terdahulu.
Kajian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula menekankan perlunya latihan kepimpinan, perancangan kewangan, transformasi digital dan akses pasaran baharu bagi memastikan kelangsungan.
Dengan penglibatan aktif dalam RMK13, perniagaan keluarga mampu meningkatkan daya saing, mengekalkan legasi, mencipta pekerjaan baharu dan mengukuhkan identiti ekonomi komuniti. Antara cadangan utama ialah mewujudkan program pewarisan khusus, insentif cukai bagi perniagaan yang melaksanakan pelan peralihan serta kerjasama universiti-industri untuk melatih pewaris. -UTUSAN
DR. NADIAH MAHMAD NASIR dan DR. SITI SURIANI OTHMAN
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










