Imej dijana ChatGPT bantu kesan suspek kebakaran Pacific Palisades

Imej dijana ChatGPT bantu kesan suspek kebakaran Pacific Palisades

IMEJ dijana menggunakan ChatGPT menggambarkan bandar terbakar dipercayai berkait rapat dengan motif kebakaran di Pacific Palisades, Los Angeles Januari lalu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki menjadi punca kebakaran besar di kawasan Pacific Palisades, Los Angeles yang mengorbankan 12 orang dan memusnahkan lebih 6,000 kediaman pada Januari lalu.

Pihak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, antara bukti utama yang dikumpul daripada peranti digital suspek, Jonathan Rinderknecht, ialah sebuah imej yang dijana menggunakan ChatGPT yang menggambarkan bandar terbakar dipercayai berkait rapat dengan motif kebakaran itu.

Kebakaran berhampiran laluan pendakian di kawasan kejiranan mewah tepi pantai itu menjadi antara bencana kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Los Angeles, memusnahkan lebih 9,308 hektar tanah serta menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah AS$150 bilion (RM632 bilion).

Kebakaran turut merebak ke kawasan berhampiran seperti Topanga dan Malibu, memusnahkan rumah milik beberapa selebriti termasuk Mel Gibson, Paris Hilton dan Jeff Bridges.

Menurut Pemangku Peguam Negara AS, Bill Essayli, penahanan Rinderknecht di Florida pada Selasa diharap dapat memberi sedikit keadilan kepada mangsa yang terkesan.

Rinderknecht, didakwa menyalakan api menggunakan nyalaan terbuka berhampiran Skull Rock Trailhead, hanya satu blok dari kawasan kediamannya dahulu, selepas menamatkan satu perjalanan sebagai pemandu Uber pada malam 31 Disember.

Penyiasat percaya suspek cuba mewujudkan bukti palsu bagi menunjukkan dirinya seolah-olah membantu memadamkan kebakaran, bagi menutup penglibatannya yang sebenar.

Penyiasat juga menemui beberapa interaksi pelik suspek dengan ChatGPT sebelum insiden.

Pada Julai 2024, lima bulan sebelum kebakaran, beliau meminta AI itu menghasilkan imej lukisan distopia yang memaparkan hutan terbakar dan orang ramai melarikan diri.

Rinderknecht kini berdepan pertuduhan membakar dan memusnahkan harta benda, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan pertuduhan tambahan termasuk bunuh akan menyusul.

Suspek dibawa ke mahkamah di Florida pada Rabu tanpa memasukkan sebarang pengakuan, dan dijangka hadir ke Mahkamah Daerah AS di Orlando pada Khamis untuk sesi ikat jamin. Prosiding penuh dijangka diteruskan di Los Angeles dalam beberapa minggu akan datang.

Pihak berkuasa berkata, Rinderknecht pernah menetap dan bekerja di California, namun berpindah ke Florida sejurus selepas kebakaran berlaku, menimbulkan kecurigaan terhadap penglibatannya dalam tragedi itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×