Tidak dibayar gaji, kakitangan persekutuan AS terpaksa buat pinjaman kewangan

Tidak dibayar gaji, kakitangan persekutuan AS terpaksa buat pinjaman kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Penutupan sebahagian operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang kini memasuki minggu kedua mula memberi kesan serius kepada pekerja persekutuan, dengan ramai antara mereka terpaksa memohon pinjaman baharu bagi menampung keperluan harian.

Penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Oktober lalu menyebabkan ratusan ribu kakitangan persekutuan diberi cuti tanpa gaji, manakala sebahagian lain yang dikategorikan sebagai pekerja penting termasuk anggota tentera masih diwajibkan bekerja walaupun tidak menerima bayaran gaji.

“Kami rasa seperti dijadikan bahan tawar-menawar politik. Kami tidak dibayar kerana ahli politik di Washington yang bergaji tidak dapat mencapai kata sepakat,” kata seorang kakitangan Tentera Udara AS 

Tambah beliau, pekerja yang masih bertugas kini memikul beban lebih berat kerana ramai rakan sekerja awam dihantar pulang. 

Minggu depan dijangka menjadi ujian pertama apabila ribuan pekerja kerajaan mula menerima penyata gaji tanpa bayaran dan jika tiada persetujuan dicapai menjelang akhir bulan ini, mereka dijangka tidak akan menerima gaji sepenuhnya bagi tempoh berikutnya.

Seorang veteran Tentera Udara dan Tentera Laut, Marilyn Richards, 46, dari Missouri yang turut terjejas berkata, penutupan kerajaan memberi tekanan hebat kepada kewangannya.

“Bagi kebanyakan kami yang hidup dari gaji ke gaji, bayaran seterusnya amat penting untuk memastikan bil dan utiliti terus dibayar,” katanya.

Bagi mengurangkan beban, beberapa kesatuan kredit di seluruh negara mula melancarkan program pinjaman khas bagi membantu pekerja kerajaan menampung hidup sementara menunggu pembayaran gaji tertunggak.

Menurut jurucakap Majlis Kesatuan Kredit Pertahanan, Haleigh Laverty, pinjaman ini bertujuan membantu pekerja menyeberangi jurang kewangan sementara menunggu krisis selesai.

Beberapa institusi kewangan turut menawarkan pinjaman jangka pendek tanpa faedah bernilai beberapa ribu dolar bagi tempoh antara 90 hari hingga enam bulan. 

Langkah ini, jelasnya, dapat membantu melindungi kedudukan kredit para peminjam.

Selain pekerja kerajaan, pakar hartanah memberi amaran sektor swasta juga bakal merasai kesan sekiranya penutupan berlanjutan.

Penutupan kerajaan kali ini berpunca daripada kegagalan Kongres mencapai kata sepakat mengenai belanjawan persekutuan menambah satu lagi krisis politik yang terus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Washington. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×