China perketat kawalan eksport industri nadir bumi

China perketat kawalan eksport industri nadir bumi

PEKERJA mengangkut tanah yang mengandungi unsur nadir bumi untuk dieksport di sebuah pelabuhan di Lianyungang di wilayah Jiangsu, China.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Kementerian Perdagangan China mengumumkan kawalan baharu terhadap eksport teknologi dan barangan berkaitan nadir bumi, langkah yang menambah kepada peraturan sedia ada ke atas industri penting itu yang lama menjadi punca ketegangan antara Beijing dan Washington.

China merupakan pengeluar utama dunia bagi mineral penting yang digunakan untuk menghasilkan magnet, komponen penting dalam industri automotif, elektronik dan pertahanan. 

Sejak April lalu, Beijing mengenakan keperluan lesen bagi sesetengah eksport bahan berkenaan, sekali gus memberi kesan kepada sektor pembuatan global.

Nadir bumi menjadi antara isu utama dalam rundingan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), dengan Washington menuduh Beijing melengahkan kelulusan lesen eksport.

Kawalan baharu yang berkuat kuasa serta-merta itu mewajibkan pengeksport mendapatkan kebenaran bagi teknologi yang digunakan dalam perlombongan dan pemprosesan nadir bumi termasuk peleburan.

Peraturan itu turut terpakai untuk teknologi yang digunakan dalam pemasangan, pelarasan, penyelenggaraan, pembaikan dan penaiktarafan barisan pengeluaran.

Selain itu, kementerian itu memaklumkan, sekatan turut dikenakan terhadap entiti asing yang mengeksport barangan berkaitan di luar China.

Menurut kenyataan tersebut, pengeksport terbabit perlu memperoleh permit sebelum membuat penghantaran tertentu dan permohonan yang melibatkan pengguna ketenteraan luar negara tidak akan diluluskan.

“Sejak sekian lama, beberapa organisasi dan individu luar negara secara langsung atau selepas pemprosesan memindahkan atau membekalkan barangan nadir bumi yang dikawal dari China untuk digunakan secara langsung atau tidak langsung dalam bidang sensitif seperti operasi ketenteraan.

Amalan tersebut didakwa menyebabkan kerosakan serius atau ancaman berpotensi terhadap keselamatan dan kepentingan negara China serta menjejaskan keamanan dan kestabilan antarabangsa ,” kata jurucakap kementerian itu.

Menurut penilaian Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada 2024, terdapat kira-kira 110 juta tan simpanan nadir bumi di seluruh dunia, termasuk 44 juta tan di China, 22 juta tan di Brazil, 21 juta tan di Vietnam, 10 juta tan di Russia, dan 7 juta tan di India.

Selama beberapa dekad, Beijing memanfaatkan rizab besarnya dengan melabur secara besar-besaran dalam operasi penapisan, selalunya tanpa kawalan alam sekitar ketat seperti yang diwajibkan di negara Barat.

China turut memfailkan sejumlah besar paten berkaitan pengeluaran nadir bumi, sekali gus menjadi halangan kepada syarikat luar yang mahu memulakan pemprosesan berskala besar.

Akibatnya, banyak syarikat memilih menghantar bijih mereka ke China untuk ditapis, menjadikan dunia semakin bergantung kepada negara itu.

Sekatan yang diperkenalkan Beijing tahun ini menyebabkan gangguan besar terhadap industri global, dengan beberapa syarikat terpaksa menghentikan pengeluaran akibat kekurangan bekalan mineral utama tersebut.

Kesatuan Eropah (EU) dan AS kini sedang berusaha meningkatkan pengeluaran serta kitar semula nadir bumi masing-masing bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Beijing.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×